KOTA KINABALU: Jabatan Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) masih menjalankan siasatan sekiranya ada kewujudan ‘followers’ media sosial ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) di negeri ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata, pihak Jheains baharu sahaja memulakan siasatan bagi mengenal pasti jika ada followers media sosial fahaman ini di Sabah.
Beliau berkata, setakat ini Jheains menjalankan siasatan berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui laporan akhbar.
“Selepas kita memperoleh maklumat dan mengenal pasti bagaimana ajaran berkenaan barulah kita akan bawa ke Pejabat Mufti untuk dinilai sama ada ia bercanggah atau tidak dengan ajaran Islam.
“Sekiranya ia menyeleweng daripada akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah, keputusan pengharaman ajaran berkenaan akan dibincangkan dan diwartakan melalui Majlis Muzakarah Fatwa Negeri Sabah,” katanya.
Bagaimanapun katanya, di peringkat negeri Sabah, kerajaan sudah meluluskan 25 ajaran yang bertentangan dengan ajaran Islam termasuk Hizbut Tahrir, Daesh atau Isis.
Jelas beliau, jika dilihat berdasarkan pengikut, gerakan pengganas Daesh/Isis ini banyak dikesan di Sabah dan ia membabitkan gerakan kententeraan bersifat antarabangsa.
Malah, kumpulan pengganas Abu Sayyaf juga berbaiah atau bersetuju berjuang bersama Daesh/Isis yang sudah difatwakan sebagai ajaran yang menyeleweng daripada ajaran Islam.
Namun, dari segi bilangan pengikut ajaran sesat atau puak pelampau ini, Pejabat Mufti tidak mempunyai data kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sehingga 2017, 25 ajaran sesat diwartakan di Sabah seperti ajaran Hizhut Tahrir, Millah Abraham, Daesh atau Isis, Fahaman Liberalsme dan Pluralisme, Dakyah Wahabiah, Tariqah Hasaniah, Black Metal dan Ilmu Makrifat.
Pada 5 Ogos 2019, Sabah meluluskan Rang Undang-Undang meminda Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 bagi mengekang ajaran sesat di Sabah.
Pindaan ini membolehkan negeri Sabah menyekat penularan ajaran sesat atau fahaman melampau bagi mengelak kekeliruan dan ancaman keselamatan dalam kalangan penduduk di negeri ini. -UTUSAN ONLINE