PUTRAJAYA: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) komited menjayakan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam memacu kecemerlangan pendidikan tinggi tempatan selari dengan moto kementerian itu ‘Leading Excellence in Academic Prominence (LEAP)’.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, hasrat KPT yang memayungi semua institut pendidikan tinggi (IPT) di negara ini sama ada awam mahupun swasta itu tidak boleh lari daripada perihal kualiti.
Katanya, selaku badan yang menjaga jaminan kualiti pendidikan tinggi di Malaysia, MQA sentiasa memastikan setiap program ditawarkan IPT tempatan mencapai piawaian sekurangnya-kurangnya kualiti minimum ditetapkan MQA dan badan akreditasi global.
“Perkara ini penting kerana kita mahu semua program ditawarkan IPT tempatan diterima serta diiktiraf majikan di dalam dan luar negara.
“Program akademik IPT tempatan yang tidak mendapat akreditasi daripada MQA akan berdepan dengan masalah apabila pelajar mahu bekerja di luar negara atau pelajar asing yang mahu bekerja di negara asal mereka,” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai inisiatif MQA dalam memastikan program pendidikan tinggi yang ditawarkan IPT tempatan mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berharap semua IPT di negara ini sentiasa memberi kerjasama supaya hasrat KPT tercapai dengan memastikan semua program ditawarkan mendapat akreditasi daripada MQA.
“Di MQA pula, kami komited untuk mengantarabangsakan program ditawarkan IPT di Malaysia menerusi kolaborasi dengan agensi jaminan kualiti pendidikan tinggi di luar negara.
“Diharap hasrat KPT untuk mencapai LEAP ini dapat direalisasikan selaras dengan agenda menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global,” katanya. -UTUSAN ONLINE