Individu tidak lengkap vaksin boleh dikompaun jika kunjungi Pantai Bagan Lalang - Utusan Malaysia

Individu tidak lengkap vaksin boleh dikompaun jika kunjungi Pantai Bagan Lalang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Individu yang tidak lengkap vaksinasi Covid-19 dilarang mengunjungi Pantai Bagan Lalang kerana bakal dikenakan tindakan kompaun oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mulai minggu depan. 

 

Yang Dipertua MPSepang, Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, sekiranya didapati ada individu yang ingkar, mereka akan terus diarahkan pulang serta-merta. 

 

“Bermulanya minggu depan, MPSepang tidak akan berkompromi dalam mengenakan tindakan sewajarnya jika mendapati ada pengunjung tidak patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. 

 

“Sebelum ini MPSepang memberi advokasi dan nasihat kepada mereka, bagaimanapun sekiranya masih tidak mematuhi SOP tersebut, pihak berkuasa tidak teragak-agak mengenakan tindakan,” katanya selepas membuat tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Pantai Bagan Lalang, Sepang di sini bersama Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof.

 

Menurut beliau, pihaknya mempunyai Jawatankuasa Pemantau SOP dengan kekuatan lapan penguat kuasa yang membuat pemantauan pada hujung minggu menerusi tiga bahagian iaitu pemeriksaan di permis dan gerai, persisiran pantai dan kawasan di sepanjang jalan berikutan jumlah pengunjung semakin mendadak lebih 3,000 orang setiap minggu. 

 

Beliau memberitahu, tindakan yang diambil atas kesalahan ketidakpatuhan dan nama mereka akan diambil dan dicatat selain diberikan Pendidikan Kesihatan dan maklumat berkenaan Covid-19. 

 

Selain itu, katanya, pengunjung akan diminta beredar serta-merta dan pulang ke rumah, namun sekiranya ingkar untuk beredar, mereka akan dikompaun dibawah P17(1) AKPB88 kerana gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah; perkelahan atau perkhemahan tanpa vaksinasi lengkap dengan kompaun sebanyak RM 2000; lain-lain ketidakpatuhan SOP RM1,500 bagi individu dan RM10,000 bagi perbadanan. 

 

Dalam pada itu, beliau berkata, bermula 16 September lalu, pihaknya mengadakan pemeriksaan rawak ke atas  2,968 pengunjung dan 243 buah premis termasuk gerai. 

 

“Daripada jumlah itu, sebanyak 34 premis dan gerai didapati melanggar SOP di samping sejumlah 98 pengunjung dan penjual tidak lengkap vaksin,” katanya. 

 

Sementara itu, Abd Hamid berkata, susulan peningkatan jumlah pengunjung ke pantai peranginan ini, kapasiti kutipan sampah ditingkatkan sehingga dua kali ganda terutamanya pada hujung minggu. 

 

“MPSepang perlu sediakan sehingga 30 tong sampah bagi menampung jumlah peningkatan sampah sehingga tiga tan berbanding satu tan pada hari biasa,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN