PUTRAJAYA: Masyarakat dinasihatkan agar tidak lagi membuat perbandingan penampilan imej kanak-kanak dengan menggelarkan mereka sebagai montel, debab, ketot atau jongang.
Panduan tersebut disarankan laman sosial kesihatan awam popular tanah air, Public Health Malaysia menerusi hantaran dan infografik yang turut tular diperkatakan kalangan wargamaya.
Amalan itu ujarnya, mungkin menjadi sebahagian budaya masyarakat setempat, malah tidak sah kunjungan kelompok ‘mak cik’ itu tidak beri ulasan kritikan perihal fizikal kanak-kanak.
“Apa yang menyedihkan, ada dibandingkan dengan sepupu atau adik-beradik sendiri dengan budak berkulit gelap dan badan gempal jadi bahan ejekan serta gurauan,” kata laman itu.
Tidak ketinggalan ciri-ciri fizikal itu menjadi nama gelaran dan sindiran selain susun atur gigi yang rongak atau jongang serta saiz ketinggian tubuh sama ada lonjong, ketot atau bantut.
Laman itu turut menyenaraikan perbandingan lazim seperti bentuk hidung kemek atau penyek serta gelaran berat badan yang diperli comel sama ada montel, debab, tembam atau montok.
Bagi golongan pengkritik itu jelas laman tersebut, ia mungkin sesuatu yang melucukan namun pada hakikatnya ia akan memberi satu tamparan jiwa emosi kepada kanak-kanak berkenaan.
“Ini juga akan menyebabkan kanak-kanak terbabit mudah hilang keyakinan diri dan boleh mengakibatkan mereka turut berasa lebih rendah diri berbanding rakan sebaya lain,” tegasnya.
Justeru pentadbir laman tersebut menasihatkan masyarakat supaya segera menghentikan tabiat suka mengkritik penampilan fizikal kanak-kanak yang ketara apatah lagi berniat menghina.
Orang ramai juga disaran agar tidak ‘merobohkan’ perasaan keyakinan diri kanak-kanak kerana sesungguhnya nilai harga diri seseorang lebih besar daripada penampilan luaran sahaja.- UTUSAN ONLINE