KOTA BHARU: Isteri mana tidak hiba melihat tubuh suami yang dulu tegap berisi, kini lemah bersisakan kulit dan tulang selepas tidak mampu menelan makanan disebabkan penyakit kanser pangkal hidung.
Air mata Makalsom Ismail, 56, tumpah setiap kali suaminya, Wan Azman Wan Mohamad, 68, cuba makan, namun, muntah, sebelum akhirnya terpaksa mengalas perut dengan hanya minum air kosong setiap hari.
Kata Makalsom, Wan Azman, seorang pesara warden penjara dikesan menghidap kanser pangkal hidung tahap empat selepas menjalani pemeriksaan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sekitar Julai lalu.
“Pada mulanya, hidung suami kerap berdarah tidak henti-henti. Saya bimbang melihat keadaannya, lalu membawa suami mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
“Kemudian, dia dibawa ke HUSM untuk pemeriksaan lanjut sebelum dia disahkan menghidap kanser pangkal hidung yang kritikal iaitu tahap empat,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah mereka di Kampung Kuala Besar, di sini semalam.
Bercerita lanjut, Makalsom memberitahu, sebelum ini, suaminya masih mampu makan roti dan susu bagi mendapatkan khasiat diperlukan badan, namun beberapa minggu lalu, dia muntah-muntah setiap kali menelan makan.
“Suami memang tidak sihat sangat kerana pernah diserang angin ahmar pada 2012. Kesihatannya merosot sehingga terlantar begini kerana kanser dikatakan sudah merebak hingga ke bahagian otak.
“Mujur saya dibantu dua anak, Muhammad Faizolni, 30, dan Muhamad Hakimi, 19, untuk menguruskan suami setiap hari. Dalam sebulan kira-kira RM700 diperlukan bagi membeli keperluannya termasuk lampin pakai buang dan ubat-ubatan,” katanya.
Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan Pengerusi Pertubuhan Prihatin Suri Pengkalan Chepa, Datin Seri Nor Azizah Sulaiman yang turut menyampaikan sumbangan berupa barangan dapur serta wang tunai.
Nor Azizah memberitahu, pihaknya akan berusaha mendapatkan sebuah katil khas untuk kegunaan Wan Azman manakala orang ramai yang ingin membantu keluarga itu boleh menghubungi talian 011-61672151. -UTUSAN ONLINE