KANGAR: Hamil lima bulan dan menjaga lima anak yang masih kecil tidak menghalang, Nur Diana Md. Radzi, 33, mencari rezeki sebagai satu-satunya pemandu bas wanita di Perlis.
Wanita tersebut yang berasal dari Alor Setar, Kedah berkhidmat dengan MyBas di bawah Mara Liner sejak Disember 2019.
Malah, suaminya, seorang pembantu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Sungai Petani turut merestui pekerjaan isterinya itu.
Minat menceburi bidang yang lazimnya didominasi kaum lelaki itu timbul selepas Nur Diana mendapat inspirasi daripada kisah-kisah wanita yang aktif sebagai pemandu kenderaan berat seperti bas dan lori.
Apabila Giat Mara membuka peluang mengambil lesen kenderaan berat itu, dia tidak melepaskan peluang untuk mencuba nasib dalam bidang berkenaan.
“Semasa saya menjalani latihan, mereka ada membuat temu duga untuk pengambilan pemandu bas untuk Mara Liner. Setelah berbincang dengan suami dan mendapat restunya, saya mengikuti temu duga tersebut dan diterima bekerja.
“Saya juga berniat melakukan pekerjaan ini bagi membantu meringankan beban suami tambahan pula dengan anak yang ramai berusia antara 10 dan lima tahun.
Memang suami bekerja, tapi saya ingin membantu menambah pendapatan keluarga,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambah Nur Diana, meskipun berbadan dua, itu tidak menjadi penghalang dirinya melaksanakan tugas dan pihak pengurusan juga banyak membantu dengan memberikan laluan yang lebih dekat.
Ditanya cabaran utama yang dihadapinya, Nur Diana berkata, antaranya ialah terpaksa melalui jalan yang sunyi seorang diri pada waktu malam.
“Saya berharap lebih ramai wanita mencuba kerjaya sebagai pemandu bas ini. Saya dulu pun hanya suri rumah,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus MyBas Perlis, Wan Nor Alam Ahah Wan Abdullah berkata, Nur Diana merupakan seorang pemandu yang cekap dan setara dengan pemandu bas lain.
“Prestasi kerja Nur Diana sangat baik dan dia memang seorang yang berani. Memang saya tidak begitu mengalakkan pemandu wanita kerana bimbang keselamatan mereka khususnya ketika melalui jalan sunyi, namun saya tidak akan menolak jika ada yang layak dan mahu memohon sebagai pemandu.
“Buat masa ini, hanya Nur Diana seorang sahaja pemandu wanita di bawah MyBas Mara Liner,” katanya.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah turut memuji cara pemaduan Nur Diana yang mengikut peraturan. -UTUSAN









