Golongan remaja Pulau Pinang terima vaksin hujung bulan ini - Utusan Malaysia

Golongan remaja Pulau Pinang terima vaksin hujung bulan ini

KHAIRY Jamaluddin (dua dari kanan) bertemu dengan Chow Kon Yeow (tiga dari kanan) dan pimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang selepas sidang akhbar di Komtar, Georgetown, Pulau Pinang membabitkan isu terkini Covid-19 di Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN : Proses vaksinasi untuk golongan remaja di Pulau Pinang dijangka bermula hujung bulan ini dengan sekolah dijangka menjadi pusat pemberian vaksin bagi golongan berkenaan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, seramai 130,000 remaja di Pulau Pinang akan menerima vaksin Covid-19 bermula minggu keempat pada bulan ini.

“Kita akan berikan vaksin Covid-19 kepada golongan remaja di sekolah dengan ditemani ibu bapa untuk mendapatkan kebenaran.

“Pelajar ini akan dipanggil mengikut keutamaan yang dikenalpasti. Saya akan umumkan minggu depan untuk negeri lain berhubung vaksinasi bagi remaja,” katanya dalam sidang akhbar bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Komtar di sini, hari ini.

Sebelum ini, Khairy mengumumkan vaksinasi kepada golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun akan menerima vaksin jenis Pfizer.

Menurut Khairy, terdapat kira-kira tiga juta remaja di seluruh negara dan adalah menjadi indeks petunjuk prestasi (KPI) Kementerian Kesihatan  untuk memastikan golongan ini divaksin sebelum pembukaan sekolah pada Januari 2022.

“Esok Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin akan mengumumkan pembukaan sekolah secara berperingkat untuk tahun ini. Oleh itu, kita akan jalankan serentak program vaksinasi untuk remaja,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, kementeriannya mengambil langkah segera bagi mengatasi situasi jangkitan kes Covid-19 yang semakin merisaukan di Pulau Pinang.

“Pihak kementerian mengambil beberapa langkah untuk memastikan indikator penting seperti kemasukan pesakit ke hospital, unit rawatan rapi (ICU), kadar kematian dan kadar jangkitan dapat diturunkan dalam masa terdekat.

“Antara strategi yang akan dilaksanakan adalah menyelesaikan program vaksin berikutan ia merupakan perlindungan penting,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya dimaklumkan bahawa Pulau Pinang akan mencapai 100 peratus lengkap vaksin dewasa pada 31 Oktober ini.

“Kita sedang berusaha untuk memberi vaksin kepada mereka yang belum mendapat vaksin.

“Kita juga sedang menjejaki 10 peratus golongan dewasa yang belum divaksin walau satu dos dan kita akan melaksanakan mobile outreach dengan pergi rumah ke rumah melibatkan wakil rakyat untuk menyelesaikan urusan mereka yang belum terima vaksin,” katanya.

Selain itu, katanya, pemberian vaksin secara walk in kepada mereka yang bukan warganegara akan turut dilaksanakan di Pulau Pinang dalam tempoh terdekat.

“Kita akan melaksanakan perkhidmatan datang terus (walk-in) kepada golongan bukan warganegara selepas ini, seperti yang dilaksanakan di Lembah Klang sebelum ini di mana beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan ditetapkan nanti,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN