JOHOR BAHRU: Program pemberian vaksin kepada gelandangan yang dibuat secara terbuka di Jalan Trus, di sini mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan terbabit bagi mengelakkan jangkitan wabak.
Bagi Shahrani Ahmed, 51, berkata, dia yang takut jarum suntikan tetap memberanikan diri untuk mendapatkan vaksin Covid-19 kerana tahu kepentingan kepada dirinya dan masyarakat sekeliling.
Dia yang berasal dari Pontian itu memberitahu sudah lama berhasrat untuk mendapatkan suntikan vaksin dan amat menghargai usaha yang dilakukan pihak Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM).
“Ada baiknya kita ambil vaksin yang beri perlindungan kepada diri serta masyarakat setempat. Walaupun takut jarum, demi vaksin Covid-19, saya rela disuntik kerana mudah untuk saya ke mana-mana tanpa mendatangkan kebimbangan kepada orang lain selepas ini.
“Harap rakan-rakan yang lain tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan vaksin yang memudahkan kita mencari pekerjaan kelak,” katanya ketika ditemui pada program tersebut, di sini hari ini.
Shem Kutio, 46, pula bersedia untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi menyahut saranan kerajaan dalam mencapai imuniti kelompok yang disasarkan.
Katanya, dia berhasrat untuk pulang ke kampung halaman di Pitas, Kota Marudu, Sabah untuk mencari pekerjaan apabila tamat tempoh 28 hari selepas menerima suntikan vaksin satu dos jenis CanSino.
Katanya, kali terakhir dia bekerja adalah sebagai pekerja pembersihan di Singapura pada 2019 sebelum tinggal sekitar Dataran Sri Lanang yang sebelum ini merupakan tempat pemberian makanan oleh PBSM Negeri Johor kepada golongan gelandangan.
“Untuk mencari pekerjaan sekarang ini kita disarankan untuk ambil vaksin dahulu dan juga atas faktor kesihatan untuk elak jangkitan, selepas ini akan lebih mudah untuk saya pergi ke mana-mana tempat kerana sudah ambil vaksin. Justeru itu saya harap dapat pulang cari kerja di kampung,” katanya.
Bagi Ahmad Razali Abdullah, 42, pemberian vaksin itu memberikan kelegaan buatnya agar tidak terdedah kepada bahaya wabak tersebut serta pada masa sama bersyukur kerana tidak dipinggirkan daripada menerima suntikan vaksin Covid-19.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat dan Kesihatan Kebangsaan PBSM, Datuk Mohd. Rashidi Mohd. Noor berkata, 50 gelandangan menerima vaksin hari ini dengan keseluruhan penerima seramai 150 orang berusia 25 sehingga 60 tahun.
“Program hari ini lebih memudahkan mereka kerana diberikan vaksin jenis satu dos sahaja iaitu CanSino. Jadi, mereka tidak perlu menunggu untuk dos kedua dan akan mendapat sijil selepas tempoh 28 hari.
“Ini berbeza dengan sebelum ini kerana mereka perlu menunggu bagi tempoh tertentu mendapatkan dos lengkap. Ia turut menyukarkan keadaan untuk mengesan mereka kerana mereka tidak tinggal setempat.
“Ada kemungkinan ada di antara mereka tidak mendapatkan dos kedua vaksin itu. Oleh itu, program pemberian vaksin yang akan diteruskan selepas ini hanya menggunakan vaksin jenis satu dos sahaja,” katanya. -UTUSAN ONLINE