fbpx

Gagal seludup minyak masak, suspek nekad terjun ke laut

Suspek bersama minyak masak bersubsidi yang dirampas ketika cuba diseludup keluar di perairan Kampung Bangau-Bangau Semporna semalam.-IHSAN Maritim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPORNA: Dua lelaki warga asing ditahan manakala, seorang lagi bertindak terjun ke laut bagi mengelak dicekup pihak berkuasa ketika cuba menyeludup keluar minyak masak bersubsidi perairan Kampung Bangau-Bangau, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi itu, ketiga-tiga suspek dilihat sedang memindahkan barangan ke dalam bot masing-masing sebelum dihampiri bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, ketika pasukan peronda yang terlibat dalam penugasan Op Pluto Timur berada berhampiran lokasi, kelihatan tiga lelaki sedang melakukan aktiviti memindahkan barangan disyaki minyak masak bersubsidi daripada sebuah kelong ikan ke dalam tiga bot.

NORRIMI HASSAN

“Menyedari kehadiran bot ronda, salah seorang suspek nekad melarikan diri dengan bertindak terjun ke laut dan berenang ke kawasan daratan yang berdekatan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kelong ikan dan bot suspek menemukan 1,156 paket minyak masak bersubsidi dengan anggaran nilai sekitar RM2,900 yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

“Kesemua minyak masak beserta bot dirampas dan dua suspek berumur 16 dan 30 bukan warganegara ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norrimi berkata, Zon Maritim Semporna akan berusaha mengenal pasti serta memburu suspek yang melarikan diri itu.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot berserta enjin dianggarkan bernilai RM22,400.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63. Di bawah akta itu, suspek boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurutnya, Zon Maritim Semporna terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan ‘panas’ terutamanya sekitar sempadan perairan negara bagi embanteras penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Sabah melalui jalan laut.

Maritim Malaysia juga meminta kerjasama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau lain-lain kegiatan jenayah maritim ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999. -UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI