Empat lelaki aktif curi motosikal ditahan - Utusan Malaysia

Empat lelaki aktif curi motosikal ditahan

SHAMSUDIN Mamat (kiri) menunjukkan sebahagian komponen motosikal yang dicuri di Baling hari ini. - UTUSAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Empat lelaki termasuk dua beradik ditahan selepas disyaki aktif dalam kegiatan curi motosikal di daerah ini sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, empat suspek berusia antara 22 hingga 26 tahun itu ditahan di tiga lokasi berasingan iaitu di Kampung Simpang Carok Kangar, Kampung Iboi, Kupang dan Jalan Charuk Nau.

“Bertindak atas maklumat kecurian motosikal pada Isnin lalu, sepasukan polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Simpang Carok Kangar dan menahan dua lelaki tempatan yang juga adik beradik.

“Polis kemudian menahan dua lagi suspek masing-masing di sebuah pondok di Kampung Bukit Iboi dan tepi Jalan Charuk Nau di sini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling di sini hari ini.

Menurut beliau, hasil soal siasat ke atas semua suspek terlibat, polis merampas barang kes iaitu komponen motosikal curi di kawasan paya belukar di belakang sebuah rumah di Kampung Simpang Carok Kangar.

“Rampasan barang kes juga dilakukan di kawasan semak dalam kebun getah di kampung sama serta kawasan semak dalam kebun getah di Kampung Bendang Pecah, Kupang.

“Antara barangan yang berjaya dirampas ialah 14 rangka motosikal yang dilaporkan hilang dengan nombor casisnya tidak dapat dibaca, kulit enjin motosikal dan spanar yang diubah suai serta Allen key,” ujarnya.

Tambahnya, penahanan kesemua suspek tersebut dipercayai berjaya menyelesaikan 15 kes kecurian motosikal di daerah ini.

“Tiga suspek didapati positif methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A, Seksyen 411 dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan,” tambahnya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya