Disangka jual aiskrim, rupanya ikan laga - Utusan Malaysia

Disangka jual aiskrim, rupanya ikan laga

SHAHIRUL ASRIQ Azman menjual ikan laga menggunakan motosikal di hadapan sebuah pasar raya di Klebang, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Masalah pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ternyata telah membina kreativiti rakyat dalam urusan perniagaan demi meneruskan kelangsungan hidup.

Tidak terkecuali seorang pemuda, Shahirul Asriq Azman, 29, yang dahulunya bekerja sebagai pembantu kedai ikan laga, kini menjual haiwan peliharaan tersebut dengan kaedah menjaja menggunakan motosikal.

Shahirul Asriq berkata, jualan ikan laga di kedai majikannya di Pulau Gadong dekat sini menjunam teruk akibat PKP sehingga tidak mampu lagi untuk membayar gaji.

Ujarnya, keadaan tersebut memaksanya tampil dengan idea sedemikian, memandangkan begitu sukar untuk mencari pekerjaan lain buat masa sekarang.

“Keadaan tersebut menyebabkan saya hampir putus asa. Ketika ini nak cari kerja lain dalam keadaan sekarang memang susah.

“Akhirnya, saya mendapat idea menjual ikan laga menggunakan motosikal. Tumpuan saya adalah di kawasan orang ramai seperti di Pantai Klebang, Pantai Puteri dan pasar raya berhampiran taman perumahan,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.

Tambah Shahirul Asriq, walaupun nampak pelik menjaja dengan cara berkenaan, seolah-oleh peniaga aiskrim, namun dia amat bersyukur jualannya mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai khususnya peminat spesies itu.

“Saya ubah suai motosikal di tempat duduk belakang dengan memasang besi untuk menyangkut bungkusan ikan laga,” ujarnya.

Jelasnya lagi, setiap hari dia akan membawa antara 40 hingga 60 bungkus ikan laga pelbagai jenis dan dijual pada harga yang rendah iaitu RM5 seekor.

“Alhamdulillah, sejak menggunakan motosikal, saya dapat menjual antara 20 hingga 30 bungkus ikan laga sehari. Ada pelanggan yang sanggup membeli sehingga lima ekor sekali gus,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN