MELAKA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Muafakat Ummah Melaka melancarkan Tabung Yayasan Kasih Prihatin bagi membantu keluarga wanita rakyat Malaysia di London, Sharifah Hanim Zakaria untuk mendapatkan hak penjagaan anak ketiganya, Emily Rose Isabella.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu keluarga berkenaan mendapatkan sumbangan RM100,000, untuk membiayai kos guaman perbicaraan di Mahkamah Keluarga London Timur dari 23 hingga 30 November ini.
Katanya, dana akan dikumpul dalam tempoh sebulan demi menyelamatkan akidah Emily Rose Isabella, 2, kerana dikhuatiri hak penjagaan akan diberikan kepada bapanya, Bryan Winnet yang telah kembali ke agama asal sejak bercerai pada 2018.
“Saya terbaca di akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini, mengenai kisah sedih wanita ini yang juga anak kelahiran Melaka.
“Setelah berbincang dengan pucuk pimpinan Muafakat Ummah dan menyatakan bagaimana kita sebagai umat Islam boleh membantu Emily Rose Isabella kembali ke pangkuan kita.
“Apa yang paling penting, pendirian yang kita buat ini adalah untuk menyelamatkan akidah anak ketiga Sharifah Hanim. Dua anaknya iaitu Luke dan Duke telah menganuti agama Kristian mengikut jejak langkah bekas suami,” katanya.
Mohamad Ali yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara ditemui selepas melancarkan tabung tersebut secara dalam talian di Baitul Tariq, Klebang di sini, semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia pada 25 September lalu melaporkan, kisah Sharifah Hanim, 41, merayu sumbangan masyarakat Malaysia untuk perbicaraan mendapatkan hak penjagaan anak ketiganya di United Kingdom (UK).
Dalam pada itu, Mohamad Ali menambah, satu perbincangan dengan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk mengutip sumbangan ketika Solat Jumaat juga akab diusahakan.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun bank Yayasan Kasih Prihatin bernombor, 554026299302 (Maybank). -UTUSAN ONLINE