Covid-19 tidak halang usahawan di Johor cipta peluang perniagaan - Utusan Malaysia

Covid-19 tidak halang usahawan di Johor cipta peluang perniagaan

HASNI Mohammad (kanan) mencuba teknik tekanan haba dalam proses percetakan pakaian yang diusahakan Sentuhan Khalif Printing semasa mengadakan lawatan ke beberapa perusahaan usahawan kecil di Benut, Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Penularan Covid-19 tidak menghalang usahawan di negeri ini untuk terus mencipta peluang perniagaan termasuk melalui bimbingan pelbagai pihak seperti Perbadanan Usahawan Johor (PUJB).

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang melakukan lawatan kerja ke empat perusahaan kecil dibawah bimbingan PUJB di daerah itu turut kagum dengan semangat yang ditunjukkan golongan itu.

“Saya kagum melihat golongan usahawan di negeri ini yang begitu komited mencari peluang biarpun kita berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Justeru, saya ingin memaklumkan kerajaan negeri Johor sentiasa memberi sokongan dan akan membantu sedaya upaya agar usahawan di negeri ini dapat terus berkembang pada masa depan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam lawatan itu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkunjung ke perusahaan Airin Food Sdn. Bhd. yang menghasilkan produk bawang goreng yang telah diusahakan pada tahun 2014 sebagai perusahaan keluarga.

Perusahaan tersebut kini diterajui oleh usahawan muda, Ilyana Zaini yang berusia 35 tahun dan beroperasi di Kampung Parit Abdul Rahman, Benut.

Seterusnya, Hasni singgah ke Riyad Agro Farm yang mengusahakan nurseri bunga, madu kelulut, arnab hiasan serta cili fertigasi milik usahawan Nor Hidayad Abdullah, 34, di Kampung Sungai Pinggan, Benut.

Menurut Nor Hidayad, pihaknya merancang untuk menjadikan Riyad Agro Farm sebagai destinasi pelancongan berasaskan pertanian dan ternakan selain ternakan madu kelulut dan nuseri sedia ada.

Lawatan seterusnya dilakukan Hasni adalah ke perusahaan percetakan pakaian iaitu Sentuhan Khalif Printing yang terletak di Wisma Haji Arsyad, Pusat perniagaan Benut yang mengeluarkan pelbagai produk seperti kemeja T, topi, beg cenderahati, tuala dan sebagainya.

Hasni kemudian mengakhiri lawatan ke perusahaan Bateqila yang mengusahakan produk kraftangan bermotifkan batik dengan menggunakan teknologi terkini, namun masih mengekalkan keasliannya.

Menurut Pengurusnya, Haleda Aqela Nasis, 36, pihaknya menggunakan pelbagai kaedah pemasaran untuk memasarkan produk kraftangannya termasuk secara dalam talian bagi memastikan produknya tetap mendapat permintaan biarpun berdepan pandemik Covid-19.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN