KUANTAN: Kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang (YP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedia menyalurkan bantuan kepada anak-anak yatim yang kehilangan ibu bapa mereka akibat Covid-19.
Sehingga kini, seramai 75 anak yatim dikenal pasti bakal menerima bantuan, namun bentuk sumbangan bersesuaian masih diperhalusi.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kerajaan negeri membantu mereka yang kebanyakannya murid dan pelajar sekolah.
Menurutnya, golongan berkenaan wajar diberikan bantuan bagi memastikan mereka dapat meneruskan persekolahan seperti biasa.
“Kita jangka antara bentuk bantuan dicadangkan ialah biasiswa atau dermasiswa dari YP selain bantuan kewangan bulanan dari JKM.
“Perkara ini diberi keutamaan oleh kerajaan Pahang dan kita pun baru memperoleh senarai nama, jadi kita akan segerakan bantuan selepas kajian selesai,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan operasi Pejabat Agama Islam Pahang Barat di sini.
Sementara itu, Syed Ibrahim turut menjelaskan, guru maahad tahfiz dan pondok persendirian di negeri ini juga akan menerima bantuan melalui Bantuan Prihatin Pahang (BPP).
“Kebanyakan tenaga pengajar di tahfiz dan pondok persendirian mengharapkan sesi belajar berjalan seperti biasa untuk mendapat elaun, jadi bila tidak dapat beroperasi, tenaga pengajar ini tidak ada sumber pendapatan.
“Kerajaan negeri cuma boleh membantu melalui pemberian BPP kepada mereka ini,” katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai isu sekolah pondok dan maahad tahfiz di sesetengah negeri dilaporkan berisiko ditutup akibat masalah kewangan, beliau menjelaskan tidak menerima sebarang laporan setakat ini.
“Kebanyakan maahad tahfiz dan sekolah pondok di Pahang tidak dibenarkan beroperasi disebabkan wabak Covid-19 bukannya akibat krisis kewangan.
“Kita perlu ingat bahawa kebanyakan sekolah pondok atau tahfiz adalah milik individu dan bukan diuruskan kerajaan negeri, jadi kalau mereka tidak mampu (dari segi kewangan), kita tidak boleh memberikan bantuan.
“Namun jika mereka berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP)… mudahlah untuk kita pantau operasi mereka,” katanya.- UTUSAN ONLINE