CAMERON HIGHLANDS: Cameron Highlands akan dijadikan projek perintis Kuaters Pekerja Berpusat (CLQ) bagi sektor pertanian dan perladangan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pelaksanaan CLQ itu untuk memudahkan kawalan terhadap pekerja asing yang tinggal di kawasan tanah tinggi itu.
Menurutnya, kementerian akan berbincang dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk kerjasama membina CLQ di sini.
“Memandangkan kawasan pertanian begitu banyak di Cameron Highlands, CLQ perlu dibina di sini selaras dengan hala tuju kementerian pada masa hadapan dalam tempoh lima tahun.
“Kita tidak mahu lagi ada pekerja asing tinggal di tempat mereka sendiri.
“Semua pekerja asing akan ditempatkan di satu tempat khas seperti di Singapura dan Dubai,” katanya kepada pemberita selepas operasi pemeriksaan asrama pekerja di kebun sayur di Ringlet, Cameron Highlands hari ini.
Menurutnya, pemilihan Cameron Highlands sebagai projek rintis CLQ juga mengambil kira kesesuaian jarak lokasi antara tempat kerja dan penempatan pekerja yang tidak melebihi daripada 15 minit.
“Kawasan Cameron Highlands yang terhad mudah untuk dapat mengawal pekerja asing yang tinggal di sini ,” katanya.
Mengenai lokasi pembinaan CLQ di sini, Saravanan berkata, perkara itu diserahkan kepada Menteri Besar Pahang untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai, namun, mengikut pendekatan kementerian yang akan dibincangkan.
Sementara itu, Saravanan memberitahu, pekebun sayur dan bunga di sini mengurangkan saiz produktiviti berikutan kekurangan pekerja akibat Covid-19.
Menurutnya, pekebun memohon agar dibenarkan untuk membawa masuk pekerja asing, namun, kementerian meminta mereka untuk mengiklankan dalam laman MyFuture Jobs. – UTUSAN ONLINE