KLUANG: Menghasilkan kandungan TikTok sehingga mengganggu petugas-petugas vaksin menjadi punca kepada larangan rakaman video dan gambar di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini.
Pegawai Daerah Kluang merangkap Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Kluang, Jamaluddin A. Hamid berkata, pihaknya menerima laporan terdapat pihak yang menyalahgunakan kebenaran rakaman diberikan termasuk merakam persekitaran bangunan LHDN yang merupakan premis kerajaan.
“Kita faham dan maklum tentang kenyataan yang telah dibuat oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan kita dapati bahawa walaupun kebenaran itu diberi kepada penerima vaksin, tetapi, ada syarat tertentu yang perlu dipatuhi.
“Antaranya sebab bangunan LHDN itu merupakan bangunan kerajaan dan kita mengguna pakai bangunan itu sebagai tempat menerima vaksin dan bangunan kerajaan mempunyai syarat-syarat juga.
“Saya difahamkan bahawa penyelaras pusat penerimaan vaksin di LHDN menyatakan bahawa terdapat beberapa insiden sebelum itu yang mana ada penerima vaksin yang menyalahgunakan kebenaran yang diberikan iaitu ada yang membuat rakaman video dan juga sekarang ini popular dengan Tik Tok,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melepaskan konvoi kenderaan sempena Program Sepakat @ Komuniti Daerah Kluang : Road To Hari Malaysia 2021 di Pejabat Daerah Kluang di sini hari ini.
Jamaluddin berkata, pihaknya juga menerima laporan mengenai beberapa insiden orang awam merakam video dan foto hingga menganggu petugas di ppv itu dan menyebabkan mereka tidak selesa.
“Penyelaras sudah tentu menjalankan tugasnya yang menyelaras dan menyelia kira-kira 2,500 penerima vaksin setiap hari, jadi, kita faham sebagai manusia biasa sedikit sebanyak dengan kerenah pelbagai penerima individu yang datang.
“Jadi, ketika itu sebagai manusia biasa mungkin ada berlaku beberapa salah faham, tetapi, bagaimanapun, tugas penyelaras adalah memastikan bahawa urusan penerimaan vaksin di menara vaksin itu berjalan lancar,” katanya.
Katanya, seharusnya penerima vaksin hendaklah memberikan kerjasama dan tidak melakukan rakaman dan sebagainya yang tidak melebihi had dibenarkan oleh etika serta arahan pentadbiran di bangunan itu.
Terdahulu, pelakon dan penyanyi, Sam Suhaid kecewa apabila dia dan isteri dihalang daripada merakamkan gambar dan video ketika hadir janji temu suntikan vaksin di PPV berkenaan akhir Ogos lalu. -UTUSAN ONLINE










