PUTRAJAYA: Setelah hampir 20 bulan, Brunei akhirnya mengikut jejak negara jirannya, Malaysia yang melarang segala akad nikad di rumah persendirian berkuat kuasa pada hari ini.
Ia susulan perkembangan penularan wabak Covid-19 di negara kecil Borneo itu yang hari ini sudah merekodkan jumlah kumulatif 6,700 kes dengan sebanyak 2,212 kes masih lagi aktif.
Perkara tersebut diumumkan Menteri Kesihatannya, Datuk Seri Setia Dr. Mohd. Isham Jaafar pada sidang media situasi terkini pandemik tersebut ibu kotanya, Bandar Seri Begawan.
Laporan itu turut disiarkan menerusi slot Berita Perdana pukul 8 malam menerusi stesen penyiaran milik kerajaan, Radio Televisyen Brunei (RTB) yang juga dapat diikuti di Malaysia.
Menurutnya, pelaksanaan akad nikah hanya dibenarkan di Pejabat Pendaftaran Perkahwinan, Perceraian, Pembatalan dan Rujuk Orang Islam di setiap daerah dalam negara berkenaan.
“Kementerian Kesihatan juga mendapat kerjasama daripada pihak Mahkamah Syariah Brunei dalam usaha tambahan bagi membendung penularan wabak Covid-19,” tambah beliau.
Larangan itu turut meliputi pernikahan di premis solat berjemaah yang melibatkan dua masjid bertaraf negara, 12 masjid utama, 25 masjid mukim, 53 masjid kampung dan 19 balai surau.
Malaysia menerusi jabatan agama Islam di negeri-negeri telah lama mewartakan majlis akad nikah hanya berlangsung di pejabat agama daerah masing-masing sejak 18 Mac tahun lepas.
Ia susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara dengan pasangan yang mahu bernikah perlu membuat temu janji terlebih dahulu dengan kehadiran dihadkan.
Mengulas lanjut, Mohd. Isham berkata, bakal pengantin dan keluarga mereka dinasihatkan merujuk kenyataan akhbar yang akan diterbitkan Mahkamah Syariah dalam masa terdekat.
“Saya menyeru dan mengingatkan orang ramai agar tetap mematuhi segala arahan yang dikeluarkan bagi mengawal penularan termasuk tidak keluar rumah tanpa ada tujuan,” tegasnya.
Brunei merekodkan kes pertama Covid-19 pada 9 Mac tahun lalu daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 53 tahun yang pulang dari acara perhimpunaan tabligh di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun negara tersebut berjaya mengekang jangkitan sehingga 9 Ogos lepas apabila merekodkan lonjakan sebanyak 42 kes baharu pada tarikh itu akibat penularan varian Delta.
Setakat ini, Brunei mencatatkan sejumlah 2,265 kluster termasuk sebanyak 110 kluster masih aktif hasil ujian saringan secara besar-besaran dilaksanakan di seluruh negara tersebut.
Seperti Malaysia, rakyat Brunei wajib memuat naik aplikasi BruHealth di telefon pintar apabila berada di luar rumah dan kegagalan berbuat demikian boleh didenda B$100 (RM309). -UTUSAN ONLINE