Beroperasi semula selepas lapan bulan tutup, spa kecantikan dipecah masuk - Utusan Malaysia

Beroperasi semula selepas lapan bulan tutup, spa kecantikan dipecah masuk

PEKERJA Nur Alwani Beauty & Spa di Bahau, Jempol menunjukkan pintu premis kedai yang telah diumpil dalam kejadian pecah masuk di kedai tersebut malam semalam.-UTUSAN/NURULAZMA SHAFIQAH KHAIRUL AZHAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Belum sempat untuk seorang pengusaha spa kecantikan di daerah ini untuk menarik nafas lega selepas lapan bulan tidak dapat beroperasi, premis perniagannya pula dipecah masuk, malam semalam.

 

Nor Azni Tolah, 41, berkata, kejadian tersebut berlaku malam semalam, namun, hanya disedari pagi tadi ketika pekerjanya mahu membuka premis bagi memulakan operasi kira-kira pukul 10 pagi.

 

“Sewaktu saya masih berada di rumah, seorang pekerja menghubungi dan memaklumkan pintu premis telah diumpil. Tiba di premis, saya dapati premis kedai saya telah dipecah masuk dan meja kaunter dalam keadaan berselerak,” katanya ketika ditemui di Nur Alwani Beauty & Spa di Bahau, di sini hari ini .

 

Tambahnya, apa yang berlaku tersebut amat mengejutkan kerana spa miliknya itu baharu sahaja masuk hari kedua beroperasi.

 

“Sudah lapan bulan kami tidak boleh beroperasi, belum kira tahun lepas hanya berapa bulan sahaja dapat beroperasi, kini premis pula diceroboh masuk.

 

“Walaupun kerugian hanya sekitar RM300 sahaja, tetapi, itu adalah nilai besar bagi kami. Mujur ramai pelanggan yang menggunakan sistem tanpa tunai untuk pembayaran perkhidmatan jadi wang tunai yang ada hanyalah untuk peti tunai kami sahaja,” ujarnya.

 

Nor Azni berkata, dia telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol pagi tadi.

 

Dalam pada itu, Norazni mengakui bersyukur apabila Negeri Sembilan telah beralih ke Fasa 4 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) .

 

Ujarnya, dua tahun pandemik Covid-19 merupakan sesuatu yang sangat mencabar bagi pengusaha-pengusaha spa kecantikan di seluruh negara.

 

“Saya sendiri terpaksa mencari alternatif lain untuk memastikan saya dapat membayar gaji pekerja saya dan membayar sewa kedai.

 

“Macam-macam yang saya lakukan termasuk menjual daging segar yang dibeli dari penternak lembu, membuka gerai rojak serta menjual sayur-sayuran kampung” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.