KOTA TINGGI: Dua kapal asing yang ditahan kerana berlabuh secara haram di perairan Johor timur di sini memberi alasan tidak tahu sedang bersauh di perairan Malaysia.
Kapal berkenaan iaitu sebuah kapal kargo berdaftar dari Liberia dan kapal tangki dari Vietnam ditahan pada Khamis dan semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, penahanan dilakukan pada hari yang berbeza, namun, di lokasi berhampiran iaitu di kedudukan 15 batu nautika timur laut Tanjung Penawar.
Katanya, penahanan pertama pada 9 September pada pukul 10.51 pagi melibatkan kapal kargo yang dikendalikan 22 kru warga Filipina berumur 24 hingga 50 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Tidak jauh dari lokasi kapal kargo yang ditahan itu sebuah kapal tangki yang berdaftar dari Vietnam pula ditahan semalam pada pukul 11.02 pagi. Kapal ini turut membawa 27 kru warga Vietnam berumur 20 hingga 47 tahun serta mempunyai pengenalan diri yang sah.
“Kedua-dua nakhoda kapal mendakwa tidak mengetahui bahawa mereka sedang bersauh di dalam perairan Malaysia dan tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran bersauh dari Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Nurul Hizam, kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah.
Tambahnya, pemilik dan nakhoda kapal dinasihatkan agar sentiasa mendapatkan maklumat yang jelas dan tepat mengenai batas perairan negara sebelum bersauh di suatu kawasan. -UTUSAN ONLINE










