Bantuan Wang Ihsan bencana naik RM1,000 - Utusan Malaysia

Bantuan Wang Ihsan bencana naik RM1,000

Caption 2: ISMAIL Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat JPBP pada 13 September lalu. - FOTO IHSAN PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju menaikkan  kadar Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap  ketua isi rumah terjejas ketika Monsun Timur Laut atau terkesan dengan lain-lain bencana yang diisytiharkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP). 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu dicapai menerusi Mesyuarat JPBP dipengerusikan beliau pada 13 September lalu sebagai membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap mangsa bencana ditambah pula dengan impak ekonomi rakyat akibat  pandemik Covid-19. 

 

Menurut beliau, inisiatif BWI ini dijangka meringankan beban lebih 39,100 ketua isi rumah melibatkan peruntukan lebih RM39.5 juta daripada  Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara. 

 

“Pemberian bantuan ini bukanlah satu bentuk pampasan atau ganti rugi  terhadap kerosakan rumah dan harta benda dialami mangsa, tetapi mengurangkan beban ditanggung.

 

“Ini antara pendekatan baharu kerajaan dalam usaha menambah baik pengurusan dan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut  yang dijangka berlaku pada awal November ini sehingga penghujung Mac 2022 melibatkan negeri-negeri seperti Pantai Timur, Johor, Sabah, dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, dalam lawatan kerja rasmi Perdana Menteri ke Sabah hari ini, Ismail Sabri turut mengumumkan Peruntukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)  kepada negeri itu berjumlah RM 18,241,250 bertujuan melancarkan proses menguruskan tindak balas bencana agar kebajikan rakyat terjejas sentiasa dipelihara. 

 

Beliau menjelaskan, peruntukan itu bagi perolehan 2,000 unit Kit Makanan (RM160,000), Pembelian 2,500 unit C-Tent (RM 961,250), Operasi Jawatankuasa  Pengurusan Bencana Negeri(RM 20,000), Operasi 22 daerah Jawatankuasa  Pengurusan Bencana (RM1,100,000) dan Pengurusan operasi Covid-19 di  negeri Sabah (RM16,000,000).  

 

“Saya berharap sebahagian daripada peruntukan ini dapat digunakan untuk  pengurusan bencana dan meringankan beban mangsa-mangsa kejadian tanah  runtuh di Penampang, Sabah, semalam. 

 

“Saya turut bersimpati kepada keluarga  mangsa yang terkorban,” katanya. 

 

Ismail Sabri pada masa sama memberitahu, atas dasar prihatin dan tanggungjawab kepada kerajaan negeri yang menghadapi kesukaran menguruskan bencana Monsun Timur Laut sepanjang  tahun, peruntukan Perbelanjaan Operasi Dalam MTL 2021/2022 juga akan disalur  menggunakan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara berjumlah  RM9.5 juta bagi membantu kelancaran proses dan memastikan kebajikan rakyat  terus dipelihara. 

 

Selain itu, beliau berkata, pendekatan baharu lain yang turut diputuskan dalam mesyuarat  berkenaan ialah pembangunan Sistem e-Sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai  platform penyelarasan bantuan antara penderma dan NGO kepada mangsa  bencana. 

 

Katanya, bantuan perlu melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana  Pusat/negeri/daerah supaya penyelarasan bantuan dapat dilakukan lebih lancar dan  sistematik. 

 

“Badan sukarela yang ingin melakukan pergerakan menghantar bantuan, perlu  mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana  Pusat/negeri/daerah terlebih dahulu memandangkan jawatankuasa peringkat  tempatan lebih arif dengan kehendak dan keperluan mangsa di kawasan terjejas,” katanya.

 

Dalam pada itu, Perdana Menteri,  menasihatkan agar semua pihak terlibat  supaya konsisten dalam merancang dan melaksanakan penambahbaikan  pengurusan bencana melalui program dan projek yang bermanfaat di negeri masing masing.

 

Kata beliau, semua agensi terlibat juga perlu menggunakan dan berkongsi segala aset  yang sedia ada di negeri masing-masing dengan melibatkan badan-badan korporat,  pertubuhan bukan kerajaan serta individu-individu di peringkat tempatan, agar sama-sama dapat menggalas tanggungjawab sesuai dengan semangat Keluarga  Malaysia. 

 

“Bersesuaian dengan semangat Keluarga Malaysia juga, orang ramai turut  dinasihatkan supaya sentiasa peka dan prihatin dengan persekitaran termasuk  terhadap jiran dan rakan selain ahli keluarga sendiri ketika musim tengkujuh nanti,  untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.