BEAUFORT: Penduduk daerah Beaufort akan berhadapan dengan gangguan bekalan air susulan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) akibat banjir yang berlaku di daerah ini.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah dalam satu kenyataan memaklumkan paras Sungai Padas kini berada pada paras bahaya dengan bacaan terkini mencecah sembilan meter manakala, Sungai Membakut mencecah lebih enam meter iaitu pada paras amaran.
“Maka, JPS akan melakukan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) sepenuhnya disebabkan keadaan banjir besar.
“Justeru, gangguan bekalan air terawat akan berlaku di daerah ini disebabkan penutupan terbabit,” katanya.
JPS memaklumkan, kerja-kerja penyelenggaraan di semua sauk LRA turut terganggu disebabkan sampah sarap yang dihanyutkan.
Maka, penduduk di daerah ini disaran untuk berjimat cermat dalam penggunaan air sehingga bekalan kembali pulih.
Sejak semalam, beberapa daerah di Sabah mengalami hujan lebat yang berterusan dan ia mengakibatkan beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir.
Beberapa perkampungan berhampiran sungai sudah mula dilanda banjir sejak malam tadi namun, setakat pagi ini belum ada penduduk diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). -UTUSAN ONLINE