Bahagi masa cari rezeki, jaga isteri hidap kanser - Utusan Malaysia

Bahagi masa cari rezeki, jaga isteri hidap kanser

IBRAHIM Mamat setia menjaga isteri, Kamarah Yusoff yang kini terlantar akibat kanser payudara di rumah mereka Kampung Semut Api, Pengkalan Chepa. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang suami tetap setia di sisi isteri, biarpun berdepan ujian apabila insan tercinta hanya mampu terlantar selepas disahkan menghidap kanser payudara, kira-kira dua tahun lalu.

Bekerja sebagai tukang rumah, Ibrahim Mamat, 54, perlu membahagikan masa untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga dan menguruskan Kamariah Yusoff, 57, di rumah mereka di Kampung Semut Api, di sini.

Ibrahim memberitahu Utusan Malaysia, sebelum keluar bekerja setiap hari, dia perlu membersihkan luka di sekitar leher sehingga dada isteri yang berasal dari benjolan pada ketiak kiri yang sudah pecah.

“Kami tidak mengetahui ia merupakan simptom kanser selepas melihat benjolan pada bawah ketiak isteri dua tahun lalu. Saya membawa isteri berubat secara tradisional selepas melihat benjolan itu.

“Apabila ia pecah, baru saya rujuk ke hospital dan doktor mengesahkan bahawa isteri menghidap kanser payudara tahap empat.

“Sejak daripada itu, isteri hanya mampu terlantar di rumah. Saya yang perlu mengambil tugas memasak dan memandikannya sebelum keluar sekiranya ada kerja untuk dilakukan,” katanya ketika ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Ibrahim, dia kini hanya mampu mengambil upah melakukan pekerjaan di kawasan berdekatan rumah kerana bimbang jika berlaku kecemasan terhadap Kamariah ketika dia keluar bekerja.

“Anak tiri saya yang berusia 17 tahun turut membantu menjaga ibunya, namun dia juga tidak selalu ada di rumah kerana turut keluar bekerja bagi menampung perbelanjaan keluarga.

“Kami memerlukan RM1,000 sebulan untuk membeli ubat-ubatan, susu khas dan peralatan mencuci luka isteri. Mujur isteri menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pendapatan saya terjejas teruk sehingga terpaksa menangguhkan bayaran sewa rumah sebanyak RM350 sebulan sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan kepada Akaun Bank Islam Berhad, 03018021090605 atas nama Kamariah Yusoff. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN