AUKUS: Wajar Malaysia meminta penjelasan daripada China - Utusan Malaysia

AUKUS: Wajar Malaysia meminta penjelasan daripada China

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan langkah Malaysia untuk meminta pandangan China berhubung pakatan baharu melibatkan Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) atau AUKUS adalah satu tindakan yang wajar.

 

Kata beliau, keutamaan sepatutnya di dalam hubungan antarabangsa adalah melihat terlebih dahulu terhadap sikap negara serantau yang terdekat bukannya melihat negara yang jauh merentasi lautan dan benua.

 

“Apatah lagi negara yang diketahui bahawa agenda penjajahannya belum lagi dipadamkan dan terkini dalam keadaan tercorot di Afghanistan dan Iraq. Lalu, mereka mengubah strategi dengan mengadakan pakatan baharu bernama AUKUS dan kita perlu berhati-hati terhadapnya. 

 

“Langkah ini diambil kerana tidak boleh diizinkan mengulangi sekali lagi sejarah tanah air ini menjadi pangkalan kepada negara asing yang jauh sebagai medan peperangan, demi keselamatan dan keamanan mereka, bukannya bagi kita di sini.

 

“Jangan sekali lagi kita mengulangi sejarah perang dunia yang menunjukkan bahawa mangsa daripada negara yang menjadi medan berlakunya peperangan itu lebih besar angka korbannya daripada jumlah korban bala tentera penjajah yang datang,” katanya dalam Minda Presiden Pas hari ini.

 

Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan berkata, Malaysia akan mendapatkan pandangan daripada China, khususnya dalam aspek pertahanan berhubung pembentukan AUKUS.

 

Sebaliknya Hishammuddin kemudian menegaskan Malaysia tidak menerima arahan daripada China berhubung pembentukan kerjasama itu dan hanyalah mendapatkan pandangan dan maklum balas kuasa besar itu

 

Dalam pada itu, Abdul Hadi memberitahu, meminta pandangan China itu tidak bermakna Malaysia sudah berpihak sebaliknya lebih bersifat kepada menunjukkan bahawa negara ini tidak bergantung lagi kepada Barat. 

 

“Ini suatu pendirian yang mencemaskan mereka yang harapannya masih bergantung kepada barat,” soal beliau.

 

Tambah Abdul Hadi lagi, sudah menjadi tanggungjawab dan peranan untuk menyelamatkan negara sendiri lebih diutamakan dan tidak menjadi alat kepada campur tangan asing secara langsung atau tidak langsung. 

 

Katanya, maka perlulah mengutamakan hubungan dengan negara jiran dan serantau yang terdekat selepas itu memandang kepada negara yang lebih jauh. 

 

“Maka, kita perlu berjuang ke arah meningkatkan kemampuan sendiri dan mengadakan hubungan dengan semua pihak, tanpa mengira negara blok timur mahupun negara blok barat. Secara tegas, kita menerima segala aspek yang positif dan menolak mana-mana polisi yang negatif serta melampau dalam hubungan antarabangsa.

 

“Jangan jadikan negara ini sebagai perisai kepada negara lain atau proksi bagi pihaknya melalui provokasi murahan yang boleh dibeli oleh mereka. Prinsip dan matlamat mereka hanya bertujuan menghalalkan segala cara dan pendekatannya sahaja,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN