KOTA KINABALU: Pasukan polis akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan negara termasuk di perairan pantai timur Sabah untuk mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sejajar dengan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga bersetuju memberi fokus bagi meningkatkan aset berteknologi tinggi bagi membantu pasukan keselamatan melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.
Beliau berkata, penggunaan aset seperti dron dan kamera yang boleh merakam pada waktu malam disamping penggunaan kapal dan bot ronda akan membantu memudahkan usaha mengesan dan mengekang aktiviti jenayah yang berlaku di sempadan negara.
“Operasi berterusan juga akan dilakukan bagi mengawal sepenuhnya kawasan sempadan negara, bukan hanya di pantai timur Sabah bahkan, di sempadan utara Semenanjung Malaysia, pantai Johor dan sempadan darat di Sarawak dan Kalimantan.
“Cubaan jenayah rentas sempadan ini berlaku hampir setiap hari maka, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) akan terus mengekalkan kesiapsiagaan dengan memanfaatkan sumber tenaga manusia dan sumber aset yang ada untuk diatur gerak.
“Ini tugas yang mencabar maka, kita akan sentiasa meningkatkan keupayaan dari masa ke semasa,” katanya semasa majlis serah-terima tugas jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah, hari ini.
Tambah beliau, semalam dua bot polis marin yang dipinjamkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada 2006 dikembalikan semula kepada polis marin dan ia akan digunakan sebagai aset tambahan khususnya pantai timur Sabah.
Acryl Sani berkata, aset sebegini sangat mustahak kerana ia sebuah bot yang besar sepanjang 120 kaki dan mampu beroperasi bagi satu tempoh yang lama di lautan.
“Ini akan memberi kelebihan kepada pasukan kita untuk sentiasa berada di barisan hadapan dalam usaha menyediakan pasukan tindak cepat apabila kita menerima maklumat berlakunya pencerobohan pihak luar,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan sentiasa memasang telinga untuk mengesan dan menjejaki anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf yang berada di negeri ini dengan kerjasama daripada agensi keselamatan luar negara.
Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini 91 peratus pegawai dan anggota PDRM seluruh negara menerima vaksin dos lengkap manakala, di Sabah terdapat seramai 89.9 peratus anggota telah menerima dua dos lengkap.
Jelas beliau, masih terdapat 10 peratus lagi pegawai dan anggota PDRM belum lengkap divaksin, mereka sudah menerima satu dos vaksin. Malah, ada juga yang tidak boleh divaksin kerana faktor kesihatan.
Terdahulu, Acryl Sani menyaksikan penyerahan tugas Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu, Datuk Idris Abdullah bagi menggantikan Datuk Hazani Ghazali yang bertukar ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).-UTUSAN ONLINE










