‘Arwah abang anak yang bertanggungjawab’ - Utusan Malaysia

‘Arwah abang anak yang bertanggungjawab’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Menerima perkhabaran duka abang kandungnya terlibat dalam kemalangan maut sehingga ditemukan rentung setelah lori dipandu terbabas mengejutkan Muhammad Irfan Ismadi, 19, yang turut bekerja di syarikat sama.

Muhammad Irfan berkata, mereka dua beradik berkhidmat di syarikat logistik yang sama namun ditempatkan di cawangan berlainan dengan arwah abangnya, Muhammad Mustaqim, 23, baru mula bertugas sejak Mei lalu.

Katanya, dia bertugas sebagai penjaga stor di cawangan Uda Utama, manakala abangnya sebagai pemandu yang menghantar barangan di cawangan Seri Bahagia, Larkin, di sini.

Ujarnya, sebaik mendapat tahu mengenai kejadian menimpa abangnya yang dimaklumkan penyelia, dia terus bergegas ke lokasi kejadian namun tidak sempat berbuat apa-apa kerana operasi penyelamatan dan pemadaman api telah selesai dilaksanakan.

“Abang seorang yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai anak sulung apabila selalu memberikan duit belanja kepada ibu bapa kami selain kerap membelikan barangan keperluan dapur. 

“Malah, jika dia ada duit lebih, dia akan bagi lebih. Bagi saya, dia adalah abang yang paling baik.

“Jadi, mendengar perkhabaran dia terlibat kemalangan itu buatkan saya cukup terkilan. Lebih remuk hati saya apabila tengok dia mati dalam keadaan begitu (terbakar),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 

Muhammad Irfan berkata, mereka perasan dengan perubahan pada abangnya yang semakin menjaga hubungan dengan Allah SWT, namun tidak menyangka ia sebagai petanda akan meninggalkan mereka sekeluarga buat selamanya.

Muhammad Irfan berkata, arwah amat menjaga solat lima waktu, menonton video ceramah agama selain kerap berkongsi petikan ayat al-Quran di profil aplikasi WhatsApp miliknya sejak sebulan lalu.

Dalam kejadian pada pukul 12.10 tengah hari semalam, Muhammad Mustaqim meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan apabila lori penghantar barangan dipandunya terbabas dan terbakar dalam kejadian di Jalan Kolam Ayer, di sini. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya