SAN FRANCISCO: Discord Inc. telah mengumpul AS$500 juta (RM2.07 bilion) dalam pusingan pembiayaan baharunya, menurut jurucakap syarikat aplikasi perbualan digital popular itu.
Menurut sumber yang tidak mahu dikenali, perjanjian tersebut telah menjadikan nilai Discord sekitar AS$15 bilion (RM62.38 bilion).
“Nilai itu lebih dua kali ganda tanda berbanding nilai AS $7bilion (RM29.11 bilion) yang diberikan oleh pelabur semasa pusingan pendanaan tahun lalu.
“Pembiayaan terbabit diterajui oleh Dragoneer Investment Group. Baillie Gifford & Co., Coatue Management, Fidelity Management & Research Co., dan Franklin Templeton,” katanya.
Terdahulu, Discord yang berpusat di San Francisco sangat terkenal dengan permainan video tetapi kini ia sudah berkembang dan digunakan oleh komuniti seni dan pelajar yang ingin belajar secara berkumpulan.
Ketika ini, setiap bulan, aplikasi itu mempunyai lebih 150 juta pengguna aktif yang menggunakan perkhidmatan itu untuk berkomunikasi menerusi suara, video dan teks.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Discord, Jason Citron dalam satu kenyataan berkata, modal baharu itu akan digunakan untuk melabur dalam ciri-ciri dan alat baharu selain mengembangkan tenaga kerja syarikat.
Sebelum ini, Bloomberg pernah melaporkan Dragoneer sedang dalam perbincangan untuk memimpin pelaburan baharu tersebut.
Pada awal tahun ini, beberapa syarikat telah menghubungi Discord untuk bercakap tentang kemungkinan pembelian.
Sumber memberitahu, syarikat terbabit telah berbincang dengan Microsoft Corp., yang menawarkan AS$12 bilion (RM29.11 bilion) sebagai permulaan.
Namun, perbincangan itu berakhir dengan Discord menolak tawaran itu pada musim bunga lalu.
Buat masa ini, antara pelabur yang melabur ke dalam Discord termasuk Benchmark, Greylock Partners, Index Ventures dan Spark Capital.
Menurut penyedia data PitchBook, sebelum pusingan pembiayaan itu, syarikat telah mengumpul hampir AS$600 juta (RM2.49 bilion) hingga kini. -AGENSI