Anak hidap kanser tinggal enam bulan hidup - Utusan Malaysia

Anak hidap kanser tinggal enam bulan hidup

MUHAMMAD Ammar Mohd. Suhaimi (tengah) ditemani Farawahida Md. Ishak (tiga dari kiri) dan Mohd. Suhaimi Zakaria (dua dari kiri) menyambut hari ulang tahun di Kampung Bahagia, Mukim Guar Kepayang, Pendang hari ini. - UTUSAN/MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Sepasang suami isteri sedih apabila anak mereka, Muhammad Ammar Mohd. Suhaimi, 7, yang menghidap penyakit kanser saraf tahap empat hanya tinggal enam bulan lagi untuk hidup.

Menurut Farawahida Md. Ishak, 37, dia dan suami, Mohd. Suhaimi Zakaria, 43, dimaklumkan doktor tentang perkara itu selepas anaknya menjalani kemoterapi pada Julai lalu.

“Saya dan suami tidak akan berputus asa untuk terus berikhtiar merawat Ammar walaupun doktor telah memaklumkan hayatnya tidak lama.

“Kami berharap dan sentiasa berdoa apa yang dinyatakan oleh doktor itu sebagai ramalan sahaja. Semua yang hidup atau mati itu adalah hak Allah dan kita perlu berusaha sahaja,” katanya.

Dia ditemui pada Program Ziarah Kasih Akhir sempena sambutan ulang tahun kelahiran Muhammad Ammar yang ketujuh di rumah neneknya bersama Persatuan Sahabat Kanser Kanak-Kanak Wilayah Utara (Foccan) di Kampung Bahagia, Mukim Guar Kepayang di sini hari ini.

Muhammad Ammar juga dikejutkan dengan kedatangan beberapa individu memakai maskot karakter Ultraman, Mickey Mouse dan Hello Kitty.

Kata Farawahida, penyakit anaknya itu mula dikesan pada tahun lalu selepas sering demam dan sakit kaki.

“Ammar yang merupakan anak keempat daripada lima beradik perlu mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang setiap bulan dan memerlukan kos sebanyak RM1,000 termasuk susu khas serta makanan tambahan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Foccan, Maznah Tayib berkata, Program Ziarah Kasih Akhir itu adalah untuk memberi kegembiraan kepada kanak-kanak yang menghidap kanser.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan bolehlah menyumbangkannya kepada Farawahida menerusi akaun CIMB 7610258889. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN