Ahli perniagaan akan fail saman fitnah RM50 juta terhadap dua akhbar - Utusan Malaysia

Ahli perniagaan akan fail saman fitnah RM50 juta terhadap dua akhbar

DATUK ABDUL MALIK DASTHIGEER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Seorang ahli perniagaan, Datuk Abdul Malik Dasthigeer akan memfailkan saman fitnah berjumlah RM50 juta terhadap ke atas dua akhbar tempatan, penerbit artikel, penyebar mesej WhatsApp dan Facebook yang mendakwanya terlibat dalam pelbagai aktiviti haram dan penyeludupan dadah.

Menurut pemilik syarikat Malik Streams Corporation Sdn. Bhd., nama beliau telah dikaitkan dengan artikel-artikel laporan berita berkaitan penyeludupan dan sindiket haram pada minggu lalu serta kemudian disensasikan dalam bentuk sindiran membabitkan namanya yang tular menerusi aplikasi WhatsApp dan hantaran Facebook.

“Baru-baru ini saya telah mendapat tahu bahawa terdapat mesej-mesej WhatsApp dan video di Facebook yang tular disiarkan di dalam laman web viral yang mendakwa bahawa saya adalah seorang ada kaitan dengan aktiviti haram antara lain iaitu penyeludupan dadah dan menjalankan perniagaan serta aktiviti haram.

“Selanjutnya di dalam Facebook turut menyiarkan artikel berita sama dan meletakkan gambar serta nama saya di dalam video tersebut dan merujuk saya sebagai individu yang ditangkap polis di dalam berita tersebut. Ini adalah tidak benar dan malah direka untuk mencemarkan nama saya. Ini adalah sesuatu yang fitnah.

“Saya sedang mengambil tindakan mahkamah terhadap semua pihak dan akan memfailkan tuntutan saman fitnah sebanyak RM50 juta terhadap penerbit artikel-artikel, penyebar mesej WhatsApp dan Facebook yang palsu ini.

Saya telah melantik peguam untuk mengeluarkan dan memulakan tindakan terhadap mereka yang bersalah dan juga terhadap pihak menyebar dan berkongsikan hantaran fitnah tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu kata Abdul Malik, beliau telah membuat laporan polis dan pihak berkuasa itu sedang membuat siasatan terhadap individu-individu yang membuat kenyataan-kenyataan yang palsu dan fitnah terhadap dirinya.

Beliau juga di dalam proses untuk mengenal pasti orang yang bertanggungjawab terlibat yang menyebarkan fitnah dalam WhatsApp dan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan menjejaskan reputasi, status dan nama saya memandangkan saya adalah seorang ahli perniagaan yang mempunyai reputasi yang baik. Disebabkan oleh ini, saya telah mengalami kehilangan dan kerugian terhadap reputasi peribadi dan perniagaan saya,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN