KEPALA BATAS: Sebanyak RM517,300 dana telah disumbangkan oleh pelbagai pihak kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) untuk diagihkan menerusi pelbagai program Bantuan Kebajikan Murid sepanjang tahun ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, program tersebut dikhususkan kepada keluarga murid atau pelajar yang telah meninggal dunia sepanjang musim pandemik Covid-19 pada tahun ini serta keluarga kumpulan B40.
Katanya, daripada keseluruhan sumbangan itu, sumbangan terbesar diterima daripada program ‘Kembali ke Sekolah’ anjuran Yayasan Petronas iaitu sebanyak RM182,000 untuk diagihkan kepada seramai 700 murid dan pelajar sekolah rendah dan menengah terpilih di negeri ini.
“Untuk sumbangan tabung kebajikan di bawah MSSPP (Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Pulau Pinang) dan Pessca (Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan negeri) pula, jumlah peruntukan yang kita terima ialah sebanyak RM24,900 iaitu dalam bentuk wang tunai dan bakul makanan.
“Ini termasuk bayaran khairat kematian sebanyak RM1,000 tiap seorang kepada murid atau pelajar yang meninggal dunia sepanjang musim pandemik Covid-19 ini,” katanya.
Beliau ditemui semasa hadir menziarahi dan menyampaikan sumbangan bayaran khairat kematian itu kepada keluarga bekas pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Muda, Muhammad Taufik Muizz Zulkeflee yang maut dalam satu kemalangan motosikal, Jumaat lalu di Taman Penaga Permai di sini, hari ini.
Selain keluarga Allahyarham Muhammad Taufik Muizz, Abdul Rashid juga berkesempatan menziarahi keluarga seorang lagi bekas pelajar Tingkatan Lima iaitu Nur Izzah Izhani Azizan yang meninggal dunia akibat masalah hati di Batu Maung.
Dalam pada itu, bapa Muhammad Taufik Muizz, Zulkeflee Zainol, 51, berterima kasih kepada JPNPP kerana prihatin dengan nasib yang menimpa anaknya.
Ujar Zulkeflee, anaknya itu yang juga anak kelima daripada enam beradik meninggal dunia ketika sedang menjalankan kerja menghantar makanan yang dilakukannya secara sambilan sejak lebih sebulan lalu.
“Apapun, kami reda dengan ketentuan Ilahi dan bersyukur kerana segala urusan kami termasuk pengebumian arwah dipermudahkan,” kata pesara tentera itu. – UTUSAN ONLINE