900 penduduk Kampung Langkawit, Papar bantah pembinaan loji kimia - Utusan Malaysia

900 penduduk Kampung Langkawit, Papar bantah pembinaan loji kimia

Wakil penduduk Jupiri Apou menunjukkan kain rentang bantahan pembinaan loji sisa kimia di Kampung Langkawit, Papar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pembinaan loji sisa kimia yang bakal didirikan di Kampung Langkawit, Papar menerima bantahan kira-kira 900 orang penduduk kampung.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, wakil penduduk, Jupiri Apou berkata, pembinaan loji kimia berhampiran kawasan perkampungan itu dikhuatiri akan mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan dan keselamatan penduduk pada jangka masa panjang.

Susulan itu, sejak daripada awal lagi bantahan sudah dikemukaan kepada beberapa agensi termasuk Jabatan Ketua Menteri, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah dan Majlis Daerah Papar agar pembinaan loji itu tidak diteruskan.

Rumah penduduk kampung terletak kira-kira dua kilometer daripada kawasan tersebut. Malah, kawasan di sekitar tapak loji itu merupakan kawasan pertanian sara diri penduduk kampung.

JUPIRI APOU

Jika loji sisa kimia ditempatkan di situ, keadaan itu akan mendatangkan risiko kesihatan kepada penduduk yang bergantung kepada hasil pertanian di kawasan tersebut. Tidak mustahil akan berlaku kebocoran bahan buangan sisa kimia itu ke kawasan sekitar.

“Saya difahamkan projek ini sepatutnya dibina di Kimanis tapi entah kenapa tiba-tiba cadangan tapak projek berpindah ke kawasan kampung kami, sedangkan ini bukan kawasan perindustrian.

“Ini kawasan pertanian jadi bagaimana kerajaan boleh membenarkan pembinaan projek yang berbahaya kepada kesihatan dibina berhampiran dengan penempatan orang kampung yang terletak kira-kira 300 meter dari situ.

“Sekolah Kebangsaan (SK) Langkawit pula terletak dua kilometer daripada tapak tersebut. Adakah kerajaan sanggup merisikokan nyawa murid sekolah ini pada masa hadapan?

“Sisa kimia ini akan mengakibatkan kemudaratan kepada kesihatan manusia bagi satu tempoh masa yang lama. Sekiranya tidak diselenggara dengan baik, kebocoran mahupun letupan gas boleh berlaku,” ujarnya.

Beliau juga kecewa dengan pihak konsultan yang dilantik kerana cuba memanupulasi laporan soal selidik ketika mendapatkan pandangan dan persejutuan orang kampung mengenai pembinaan loji yang dijadualkan bermula pada tahun 2023 itu.

Jupiri berkata, sebanyak 278 orang ditanya dalam laporan soal selidik namun, kebanyakan responden bukan daripada kampung itu, sebaliknya daripada kampung berdekatan. Kemudian, konsultan merumuskan 61.9 peratus penduduk setuju dan tidak membantah pembinaan loji tersebut.

Bagaimana laporan kaji selidik itu boleh diluluskan jika responden yang diambil bukan penduduk Kampung Langkawit yang sebenar.

Biarpun tapak loji seluas empat ekar itu sudah dibeli oleh syarikat berkenaan namun, itu bukan jaminan mereka boleh mendirikan loji di kawasan kampung.

Notis pemberitahuan mengenai laporan penilaian kesan kepada alam sekitar yang dipaparkan dalam media sosial Jabatan Alam Sekitar

Ketika ini, JAS sedang menjalankan penilaian kesan kepada alam sekitar (EIA) dan mengalu-alukan penduduk kampung memberi pandangan secara atas talian sehingga 28 September ini.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN