40 tahun hias rumah dengan Jalur Gemilang - Utusan Malaysia

40 tahun hias rumah dengan Jalur Gemilang

RUMAH Bidin Mat Jais dan Zaitun Mat Deris dipenuhi dengan Jalur Gemilang setiap kali bulan Ogos di Felda Tonkin Jengka 23 di Kuala Krau, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAU: Sejak 40 tahun lalu, setiap kali tiba bulan Ogos, pasangan suami isteri di Felda Tonkin Jengka 23 di sini pasti menghiasi seluruh halaman rumah mereka dengan kibaran Jalur Gemilang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peneroka terbabit, Bidin Mat Jais, 69, berkata, semangat cintakan negara berkobar-kobar dan lahir dengan sendirinya sebaik sahaja masuk bulan Ogos pada setiap tahun.

Menurutnya, dia dan isterinya, Zaitun Mat Deris, 63, mula menghias rumah dan memasang Jalur Gemilang dan bendera semua negeri sejak 1981 setelah menyertai tanah rancangan itu pada 1979.

“Pada masa itu tiada siapa yang mengarahkan kami berbuat demikian tetapi lahir daripada lubuk hati sendiri untuk menyerlahkan semangat cintakan negara dan bersyukur menjadi rakyat Malaysia.

“Kami berbuat demikian untuk membuktikan kebanggaan tinggal dalam sebuah negara yang aman damai dan menjadi peneroka Felda pemangkin ekonomi rakyat luar bandar,” katanya di sini semalam.

Bidin yang berasal dari Kampung Kuala Sentol, Maran, dekat sini mengakui isterinya begitu berminat menghiasi rumah dengan Jalur Gemilang setiap kali menjelang bulan kemerdekaan negara.

Menurutnya, mereka sanggup berhabis ribuan ringgit dan masa untuk menyediakan kelengkapan menghiaskan rumah mengikut tema setiap tahun.

Sementara itu, Zaitun mengakui menghias rumah dengan Jalur Gemilang dan bendera negeri-negeri lain satu kepuasan dan menjadi terapi diri dan keluarga.

“Saya sanggup bersengkang mata tidak tidur malam selagi kerja-kerja menjahit dan memasang bendera di halaman tidak siap.

“Saya puas melihat persekitaran rumah ‘lebat’ dengan kibaran Jalur Gemilang dan bendera negeri-negeri berkibar megah di samping pelbagai jenis pokok bunga yang ditanam,” katanya.

Beliau berkata, semangat jati diri perlu diserlahkan supaya menjadi ikutan generasi muda yang mungkin ‘hanyut’ dengan teknologi digital. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×