192,541 usahawan diberi pinjaman mudah - Utusan Malaysia

192,541 usahawan diberi pinjaman mudah

NOH Omar (dua dari tengah) menyerahkan replika cek sumbangan usahawan terjejas banjir kepada Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit (kanan) pada Program Penyerahan Sumbangan Kepada Usahawan dan Keluarga Terjejas Banjir di Masjid Jamek Badlishah, Yan hari ini. - UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) memberi pinjaman mudah kepada 192,541 usahawan di seluruh negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19 bagi meneruskan semula perniagaan mereka selepas ini.

 

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pinjaman itu akan diberikan dalam tempoh 100 hari beliau menerajui kementerian itu bagi memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) seperti ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Beliau berkata,  kemudahan pinjaman itu akan turut diberikan kepada  peniaga kecil yang tiada syarikat atau tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan usahawan perniagaan kecil dan sederhana (PKS).

 

“Kita akan mudahkan pinjaman dalam tempoh kecemasan ini, jadi, saya minta kita tidak perlu menyemak laporan CTOS Data Systems Sdn. Bhd. (CTOS).

 

“Begitu juga dengan sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), kita akan semak sedikit sahaja iaitu tarikh yang direkodkan sama ada sebelum atau selepas pendamik.

 

“Sekiranya selepas pandemik, maka, kita akan mudahkan pemberian pinjaman untuk usahawan terbabit,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Penyerahan Sumbangan Kepada Usahawan dan Keluarga Terjejas Banjir di Masjid Jamek Badlishah di sini hari ini.

 

Mengulas lanjut, Noh, berkata, pinjaman mudah itu akan diselaraskan mengikut 11 agensi di bawah kementerian itu berdasarkan jumlah pinjaman yang dipohon peniaga.

 

Katanya, ini kerana setiap agensi di bawah MEDAC memberikan peruntukkan jumlah pinjaman berbeza.

 

“Contohnya, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menawarkan pinjaman maksimum sebanyak RM50,000, Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional dengan nilai pinjaman bermula RM50,000 maksimum RM100,000, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) pula RM100,000 hingga RM10 juta dan SME Bank menyediakan pinjaman lebih RM10 juta,” ujarnya.

 

Terdahulu, Noh berkata, seramai 168 usahawan di Yan yang terjejas akibat fenomena kepala air pada 18  Ogos lalu menerima sumbangan sebanyak RM168,000 menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bank Rakyat.

 

Selain itu, katanya, sebanyak RM40,000 turut disumbangkan kepada 200 keluarga yang terjejas akibat bencana berkenaan manakala RM25,000 lagi kepada lima buah sekolah yang terjejas. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN