12 PPV Perak sedia secara datang terus - Utusan Malaysia

12 PPV Perak sedia secara datang terus

MOHD AKMAL KAMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebanyak 12 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada di Perak kini menerima individu untuk mendapatkan suntikan vaksin secara datang terus (walk-in).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, operasi PPV secara datang terus itu dibuka secara berperingkat bermula 4 September lalu dengan pengkhususan tertentu untuk golongan 18 tahun ke atas dan sebahagiannya untuk 40 tahun ke atas sahaja.

Menurutnya, PPV yang terpilih bagi melaksanakan vaksinasi secara datang terus bagi individu 18 tahun ke atas adalah Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Slim River; Dewan Millenium Lubok Merbau, Kuala Kangsar; Dewan Majlis Perbandaran, Sungai Siput; Dewan Mohamed Jamrah, Sungai Sumun, Bagan Datuk; Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Taiping.

“Turut menerima individu 18 tahun ke atas secara walk in adalah Dewan Bandaran Pengkalan Hulu; Dewan Serbaguna Gerik; Dewan Merdeka Lenggong; Dewan Permai, Selama yang dibuka selama empat hari sahaja bermula 6 September serta Dewan Bandaran Teluk Intan (6-8 September),” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan di Facebook rasminya hari ini.

Beliau berkata, sebagai langkah sama,  Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) negeri juga menetapkan vaksinasi secara datang terus di PPV Stadium Indera Mulia, Ipoh dan Dewan Bandaran Kinta, Batu Gajah bermula 6 September lalu.

“Bagaimanapun, penetapan ini hanya kepada individu 40 tahun ke atas dengan kapasiti 200 penerima sehari,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN