JERANTUT: “Biarlah apapun orang hendak kata, Wak tetap dengan cara tersendiri untuk menyambut dan menghayati ulang tahun kemerdekaan negara.”
Demikian kata Rosman Marman, 71, kepada Mingguan Malaysia di Felda Kota Gelanggi Dua di sini yang setiap tahun tidak sabar menunggu ketibaan bulan Ogos untuk mengibarkan Jalur Gemilang di rumah dan menunggang motosikal Vespa antik miliknya.
Rosman atau lebih mesra dipanggil Wak Rosman berkata, setiap bulan Ogos, dia akan menghias Jalur Gemilang di motosikal Vespanya lalu berarak di kawasan Felda itu sambil membonceng isteri yang turut mengibarkan bendera bersaiz besar.
“Vespa antik berusia 53 tahun merupakan benda (kenderaan) yang sangat Wak sayang dan kerap ditunggang untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan memeriahkan sambutan 31 Ogos setiap tahun,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua di sini semalam.
Wak Rosman berkata, sebelum ancaman penularan Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) (sebelum 2020), dia akan menunggang Vespanya yang dihiasi Jalur Gemilang ke bandar Jerantut atau Bandar Pusat Jengka untuk menyertai acara sambutan hari Ulang tahun Kemerdekaan di situ.
“Mulai tahun lalu, Wak cuma berarak mengibarkan Jalur Gemilang di kawasan Felda ini sambil menunggang Vespa kerana penguat kuasaan PKP dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan amalan peraturan keselamatan tertentu,” katanya.
Menurutnya, Vespa Piaggio keluaran 1968 yang dibeli daripada seorang rakan dengan harga RM550 pada Mei 1978 masih elok enjinnya dan pernah ditunggang sehingga ke Perlis dan pulang semula ke Pahang dengan selamat sempena Program Kembara anjuran Persatuan Vespa Bandar Pusat Jengka.
“Wak sayang Vespa sama seperti cinta dan setia kepada negara dan tidak mahu ‘digadaikan’ walaupun ia ditawarkan dengan harga yang tinggi. Vespa ini cukup bermakna dan nostalgia bagi Wak menyambut ulang tahun Kemerdekaan setiap kali 31 Ogos,” ujarnya.
Wak Rosman yang berasal daripada Pasir Panjang, Selangor masih sihat bersama isterinya, Siti Mutrika Mohd. Noor, 64, mempunyai enam orang anak berusia 31 hingga 44 tahun, juga datuk kepada 12 cucu berharap kemeriahan sambutan kemerdekaan dan jeritan ‘Merdeka’ akan berkumandang semula pada tahun depan apabila wabak Covid-19 berakhir.
Dia yang sangat menjiwai Pop Yeah-Yeh serta minat dengan biduan A. Ramli dan Datuk Jeffrydin menambah, kemerdekaan cukup signifikan apabila menyaksikan perubahan kehidupannya sewaktu usia muda yang susah tinggal di kampung beroleh keselesaan apabila menyertai tanah rancangan Felda tanaman sawit di situ.
“Sebab itulah, dengan apa cara sekalipun kita mesti sambut dan hayati erti kemerdekaan khususnya generasi hari ini wajar taat serta menyulam patriotisme dan kesetiaan di samping bersyukur apabila beroleh kesejahteraan hasil perjuangan negarawan dahulu,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE