KOTA TINGGI: Seorang pekerja pembersihan syarikat SWM Environment, di sini tidak menyangka akan menjadi ‘terkenal’ di media sosial gara-gara pengisian video berkaitan kerjayanya yang dikongsikan di aplikasi TikTok.
Arjuna Osman, 42 berkata, dia mula seronok berkongsi perihal kerjanya sebagai pekerja kebersihan di sekitar kawasan bandar Kota Tinggi selepas salah satu videonya mendapat sehingga 361,000 paparan.
Katanya, video berkenaan sampah sarap ketika operasi pembersihan pasca banjir itu turut mendapat 133 perkongsian, lebih 30,000 tanda suka dan 1,746 komen.
“Anak yang mengajar saya bermain TikTok. Nama akaun saya juga saya letak nama ‘hakak sisa pepejal’ kerana saya suka paparkan berkenaan kerja saya.
“Saya tidak pernah ada pun rasa malu bekerja dengan sampah sarap. Bahkan usaha saya ini satu sahaja tidak lain hanya untuk memberi kesedaran kepada orang ramai agar tidak membuang sampah merata-rata.
“Tambahan pula ramai di akaun saya yang bertanya tentang skop kerja dalam perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam jadi apa saya lakukan dapat memberi pengetahuan kepada orang awam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Ibu kepada lima orang anak itu berkata, semua rakaman kandungan berkenaan kerjanya yang dimuatnaik ke akaun TikToknya juga telah mendapat kebenaran penyelia terlebih dahulu.
Katanya dia akan memastikan tugasan lapangan diselesaikan terlebih dahulu sebelum merakam.
Jelasnya, dia tidak mahu apa dilakukan itu menggangu tugasannya sebagai barisan hadapan di lapangan semasa tempoh Covid-19 atau pada hari biasa.
“Alhamdulillah sehingga kini semua paparan mendapat maklum balas yang membina dan mendorong saya untuk terus berkongsi pengetahuan dan pengalaman tentang pekerjaan saya.
“Apa saya harapkan perkongsian yang saya buat berkenaan sampah sarap dapat mengubah pandangan orang awam tentang pekerjaan yang berkaitan kotoran,” katanya.
Sementara itu, pengurusan SWM Environment dalam kenyataan berkata, pihaknya memandang positif kandungan media sosial pekerja di lapangan yang menonjolkan peranan petugas barisan hadapan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam sekali gus mampu membentuk kesedaran masyarakat.
“Ia menjadi inspirasi kepada SWM Environment untuk memanfaatkan platform media sosial untuk aktiviti publisiti dan pendidikan kepada orang ramai.
“Bagaimanapun ada garis panduan media sosial SWM Environment yang menjadi asas rujukan bagi memastikan imej syarikat sentiasa terpelihara,” katanya. -UTUSAN ONLINE