UTeM terima 482 pelajar diploma baharu - Utusan Malaysia

UTeM terima 482 pelajar diploma baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima kemasukan 482 pelajar baharu sesi 2021/2022 bagi pengajian peringkat diploma.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsanya, Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim berkata, proses pendaftaran dibuat menerusi sistem dengan mengaktifkan pelajar secara dalam talian bermula 2 Ogos, berikutan negara masih lagi belum bebas daripada pandemik Covid-19.

Menurut beliau, UTeM terus menjadi pilihan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi menyambung pengajian di peringkat diploma dalam jurusan kejuruteraan dan teknologi maklumat.

“Pelajar ini mendaftar lima kursus yang ditawarkan iaitu Diploma Kejuruteraan Elektrik, Diploma Kejuruteraan Elektronik, Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Kejuruteraan Pembuatan dan Diploma Teknologi Maklumat.

“Bidang diploma kejuruteraan dan teknologi maklumat terus diminati lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana pengajian ini terus relevan dengan kebolehpasaran yang tinggi selepas menamatkan pengajian. 

Selain itu, mereka juga mudah untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana muda kelak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkifilie berkata, pelajar baharu akan mengikuti sesi pembelajaran semester khas sesi 2021/2022 bermula 3 Ogos secara dalam talian.

Katanya, para pelajar juga akan mengambil kursus wajib universiti yang dikendalikan oleh Pusat Pembelajaran Bahasa (PPB) dan Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (IPTK) UTeM.

Sementara itu, Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Pengurusan Akademik (BPA), Misdom Lan berkata, kursus-kursus yang ditawarkan terus mendapat sambutan baik.

Jelasnya, kursus diploma teknologi maklumat, diploma kejuruteraan pembuatan dan diploma kejuruteraan mekanikal terus mendapat permohonan paling pantas seawal permohonan dibuka.

Di samping itu, ujarnya, permohonan bagi diploma kejuruteraan elektrik dan diploma kejuruteraan elektronik turut memberangsangkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya