UTeM rangkul emas di WICO 2021 - Utusan Malaysia

UTeM rangkul emas di WICO 2021

SIJIL dan pingat emas kemenangan UTeM menerusi produk inovasinya, VTOL-UAV pada WICO 2021 yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Empat mahasiswa dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini berjaya mengharumkan nama negara selepas merangkul pingat emas di The World Invention Creativity Olympics (WICO) 2021 yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan, baru-baru ini.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Raha Abdul Rahim berkata, kejayaan Iqbal Hakimi Mohammad Feirdaus; Nurul Khalida Kasim; Muhammad Haziq Mohd. Hamizat dan Aqil Haikal Jalalus Sayuti adalah menerusi dron ciptaan mereka yang telah diiktiraf barisan panel bertaraf dunia di WICO 2021.

Menurut beliau, produk inovasi dikenali sebagai Hybrid Vertically Take Off and Landing Unmanned Aerial Vehicle (VTOL-UAV) itu dibangunkan oleh sekumpulan pelajar bersama penyelia, Ir. Dr. Fudhail Abdul Munir dan Dr. Nidzamuddin Md. Yusof.

“Kejayaan tersebut selari dengan matlamat universiti untuk memastikan mahasiswa terus menyerlah bukan hanya di peringkat nasional, tetapi ke peringkat global juga.

“Ini akan menjadi lonjakan kecemerlangan buat mereka dalam aspek kompetensi mempraktikkan segenap ilmu dan pengetahuan dalam dunia sebenar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

WICO 2021 yang dianjurkan oleh Korea University Invention Association secara dalam talian telah menghimpunkan lebih seribu pelajar serta pencipta dari lebih 25 buah negara antaranya Amerika Syarikat, Kanada, China, Romania, Taiwan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iran, Iraq, Thailand dan India.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTeM, Dr. Juffrizal Karjanto berkata, dron berkenaan dibangunkan secara berperingkat pada awal 2020 sehingga pertengahan tahun ini dan terus dibangunkan sehingga kini.

Jelasnya, antara kelebihan produk tersebut adalah ia dibangunkan dengan kos efektif, berkeupayaan dikomersialkan di peringkat tempatan dan antarabangsa bagi kegunaan pengawasan, pencarian dan penghantaran ke kawasan yang terbuka serta ruangan sempit.

“Produk ini telah diuji oleh Malaysian Unmanned Drone Activities Society (MUDAS) dan mempunyai kelajuan sehingga 50 kilometer sejam (km/j). Dron ini juga mampu terbang pada ketinggian lebih 24 meter dan waktu penerbangan sehingga 2 jam tanpa pengecasan semula.

“Saya berharap pencapaian ini dapat membuka mata peserta tempatan khususnya golongan belia untuk bersama-sama mengembangkan bakat inovasi, sains dan teknologi agar negara terus setanding dengan negara-negara maju yang lain,” katanya yang juga ketua penyelia projek berkenaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN