UPSI hantar sukarelawan bantu mangsa banjir lumpur di Yan - Utusan Malaysia

UPSI hantar sukarelawan bantu mangsa banjir lumpur di Yan

NOR KHALID Salimin (dua dari kanan) memberi taklimat kepada anggota ResQ Team UPSI sebelum ke Yan, Kedah hari ini. - UTUSAN/IHSAN UPSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menghantar pasukan ‘ResQ Team’ terdiri daripada 20 sukarelawan untuk membantu mangsa banjir lumpur di Yan, Kedah.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, sukarelawan melibatkan kakitangan dan mahasiswa universiti itu bergerak pada pukul 9 pagi tadi menggunakan empat buah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan sebuah lori.

“Mereka akan ke kawasan dilanda banjir lumpur di Yan untuk membantu penduduk yang terkesan termasuk di Kampung Setoi, Kampung Ruat, Kampung Permatang Gamat, Kampung Titi Bakong, selain Kampung Sungai Badak di Gurun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Unit Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin yang mengetuai misi bantuan itu berkata, misi itu dilaksanakan mulai hari ini sehingga Ahad ini.

Menurutnya, tumpuan kepada kerja-kerja pembersihan rumah keluarga pelajar-pelajar, alumni UPSI dan masyarakat setempat di kawasan terjejas serta serahan sumbangan.

Katanya, misi sukarelawan itu dijalankan dengan kerjasama Majlis Sukarelawan Universiti-universiti Malaysia (MASKUM) serta Universiti Awam Zon Utara.

Jelasnya, sumbangan daripada Tabung UPSI Prihatin juga disalurkan berbentuk beras, sabun, gula, milo dan minyak masak kepada keluarga pelajar UPSI yang terlibat.

“Di kawasan kejadian, kami turut membantu keluarga pelajar semester tujuh Fakulti Sains dan Matematik, Najihah Azizan di Kampung Singkir Genting, Bedong.

“Mana-mana pihak serta alumni UPSI yang ingin memberi sumbangan kepada ResQ Team boleh menghubungi saya di talian 016-5100230,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN