PETALING JAYA: Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad mempersoalkan sama ada ahli-ahli parlimen parti itu yang menyokong Perikatan Nasional (PN) menerima kenyataan supaya bersama pimpinan peringkat negeri seterusnya mendengar suara rakyat atau sebaliknya.
Katanya, kawasan parlimen mereka juga terletak dalam negeri dan tentunya kawasan parlimen mereka tidak berada di kayangan atau terputus daripada negeri dan rakyat negeri itu.
“Sudah beberapa kali, ahli-ahli parlimen ‘kluster pro-PN’ ini tidak hiraukan pandangan dan keputusan kepimpinan parti peringkat negeri.
“Hujah mereka, kepimpinan negeri hampir kesemuanya ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan ahli parlimen, maka pemimpin negeri tidak setaraf dengan mereka yang berada di parlimen!.
“Kalau keputusan parti mereka sendiri pun mereka tidak diendahkan, mahukah mereka mendengar suara rakyat?,” soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, seramai 13 pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menggesa semua ahli-ahli parti itu supaya terus istiqamah dan berpegang teguh kepada prinsip perjuangan, peraturan dan tata susila sebagai ahli UMNO.
Shahrir juga menyifatkan ahli-ahli parlimen UMNO yang berkeras hendak menghidupkan PN 2.0 sudah hilang segala punca.
“Keputusan MT (Majlis Tertinggi), kata mereka, adalah tidak menghormati mereka yang menang kerusi parlimen.
“Ada dalam kalangan mereka yang kalah dalam pemilihan parti, (tetapi) setelah kalah dalam parti, menolak pula pandangan dan keputusan mereka yang menang,” katanya.
Tambah beliau, setelah itu mereka bertegas pula bahawa mereka memenangi kerusi parlimen dan kerana itu mereka yang (setakat) hanya menang dalam parti tidak berhak menguasai mereka.
Katanya, bagi mereka keputusan ketua-ketua perhubungan UMNO negeri adalah tidak setaraf dengan kedudukan mereka yang berada di parlimen.
“Sombong betul golongan ahli-ahli parlimen ini terhadap parti di peringkat nasional dan di peringkat negeri-negeri.
“Parlimen ke-14 ini pun terhad hayatnya. Insya-Allah, UMNO akan berada lebih lama daripada hayat mereka sendiri dan hayat Parlimen ke-14. Kerajaan PN lah ‘kerajaan yang gagal’. Apa hal hendak dihidupkannya kembali?
“Patuhlah kepada parti di peringkat negeri dan negara. Turunlah dari kayangan. Kedudukan di Dewan Rakyat itu datangnya dari sokongan parti dan rakyat, bukannya kedudukan milik mutlak diri sendiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE