ALOR SETAR: Tuduhan kononnya berlaku salah guna kuasa dalam penganugerahan projek kerajaan negeri bernilai lebih RM1 bilion membabitkan sektor pelancongan di Kedah, didakwa dilakukan secara tidak cermat.
Malah menurut Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor, tuduhan dilakukan seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Sungai Siput, Perak, Indrani Selvakumar hanyalah sekadar satu propaganda politik.
Menjelaskan perkara itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri tidak pernah sama sekali menganugerahkan sebarang projek kerajaan bernilai RM1.3 bilion kepada mana-mana pihak.
“Dalam masa sama, kerajaan negeri juga tidak mempunyai sebanyak itu untuk melaksanakan projek pembangunan termasuki membangunkan litar lumba.
“Projek litar lumba tersebut yang dicadangkan untuk dibangunkan oleh OPen Road Asia Sdn. Bhd. di Langkawi adalah projek pelaburan syarikat swasta yang mengadakan kerjasama dengan Permodalan Kedah Berhad selaku pemilik tanah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Sanusi mengulas tindakan Indrani yang membuat laporan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana mendakwa Menteri Besar itu menyalahgunakan kuasa dalam pemberian sebuah projek berkaitan sektor pelancongan negeri.
Indrani mendakwa mempunyai bukti projek berkenaan dianugerahkan kepada sebuah syarikat dengan pengasas yang juga salah seorang pengarahnya telah muflis.
Wanita itu turut mendakwa individu berkenaan pernah didakwa oleh Suruhanjaya Sekuriti berhubung kes manipulasi pasaran.
Muhammad Sanusj berkata, rundingan dan kerjasama projek itu hanyalah melibatkan kedua-dua syarikat berkenaan dan sama bukannya membabitkan seorang individu dengan individu yang lain.
“Oleh itu dakwaan mengatakan terdapat individu muflis dalam syarikat swasta terbabit adalah semata-mata urusan syarikat berkenaan. Perkara itu langsung tiada kaitan dengan kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN ONLINE