Tidak boleh pandang ringan manfaat vaksin lengkap, demi kesihatan mental fizikal rakyat - PM - Utusan Malaysia

Tidak boleh pandang ringan manfaat vaksin lengkap, demi kesihatan mental fizikal rakyat – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan pemberian kemudahan kepada individu vaksinasi lengkap semestinya akan memberi risiko peningkatan bilangan kes positif harian Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, namun, kerajaan juga tidak boleh memandang ringan manfaat setelah divaksin lengkap dan juga peranan kemudahan-kemudahan itu terhadap kesihatan mental dan fizikal rakyat serta aktiviti ekonomi negara.

Menurut beliau, penerima vaksin lengkap dapat mengukuhkan sistem pertahanan badan terhadap jangkitan virus dan melindungi diri daripada mendapat gejala jangkitan lebih teruk, serta mampu mengurangkan kadar kebolehjangkitan kes positif sebanyak 50 peratus.

“Dalam tempoh enam minggu kebelakangan ini, terdapat trend penurunan kadar kemasukan ke wad dan unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Sungai Buloh bagi warga emas berusia 60 tahun ke atas.

“Situasi ini menunjukkan pemberian vaksin kepada kumpulan warga emas di fasa 2 PICK yang dilaksanakan sejak 19 April lalu mula menghasilkan impak yang positif dalam konteks kesihatan,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Muhyiddin berkata, hanya 4,635 (1.88 peratus) daripada 246,242 petugas Kementerian Kesihatan yang menerima vaksin sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dimulakan pada 24 Februari lalu dijangkiti Covid-19.

Katanya, daripada jumlah kes positif tersebut, 4,625 (99.78 peratus) hanya mengalami gejala ringan atau tidak bergejala, manakala hanya tujuh kes (0.15 peratus) adalah kategori 3 dan tiga kes (0.06 peratus) adalah kategori 4.

“Tiada dalam kalangan mereka yang mengalami jangkitan Covid-19 kategori 5 yang memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN