BERA: Masih segar diingatan seorang guru agama di Kampung Bohor Baru di sini, Othman Tawang, 81, detik di mana dia menjadi hero ‘menawan’ enam orang pengganas komunis sekitar 1956.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Othman berkata, walaupun peristiwa itu ketika usianya 16 tahun namun ia seolah-olah baharu berlaku semalam.
Menyorot kembali peristiwa pada 1956 itu, Othman berkata, dia dikunjungi seorang komunis dikenali Ah Chok di tepi sawah padi di Kampung Paya Tebing Tinggi berhampiran Sungai Pahang di sini.
Menurutnya, menjadi kelaziman setiap pagi dia membantu ayah, Tawang Mat Isa dan ibu, Meriam Kassim di sawah dan menoreh getah sebagai punca pendapatan utama keluarga mereka ketika itu.

Menurutnya, dia terkejut apabila muncul seorang individu mengaku sebagai komunis bersama lima pengikutnya berhasrat menyerah diri kepada kerajaan.
“Saya dijadikan ‘sasaran’ sebagai perantara dengan polis dan dianggap selamat kerana ketika itu sedang berehat keseorangan di tepi sawah.
“Walaupun dalam ketakutan dan was-was, saya bersedia membantu dengan syarat dia menulis surat untuk dibawa ke balai polis berdekatan,” katanya di Kampung Bohor Baru di sini semalam.
Othman berkata, berdasarkan perbualan dengan komunis terbabit, mereka sudah bosan tinggal di hutan, sentiasa dalam ketakutan diburu tentera, kelaparan dan sering sakit kekurangan zat makanan.
“Kami berjalan kaki kira-kira enam kilometer menyusuri jalan denai berhutan tebal berhampiran Sungai Pahang. Kira-kira 100 meter dari Balai Polis Karai, saya diminta pergi seorang diri menyerahkan surat untuk menyerah diri kepada polis di balai berkenaan.
“Mata-mata pada waktu itu yang dimaklumkan hasrat komunis untuk menyerahkan diri turut terkejut dan meminta saya merampas senapang jenis raifal yang berisi enam peluru yang dibawa oleh Ah Chok.
“Setelah berpuas hati, enam komunis itu diberi makan sebelum dibawa menaiki bot polis ke Kuala Bera. Dari sana mereka menaiki trak ke Temerloh. Saya turut serta ke Temerloh sebagai saksi dan semua urusan dokumentasi siap sekitar pukul 5 petang,” katanya yang juga bekas Ketua Kampung Bohor Baru.
Jelasnya, seminggu selepas peristiwa itu, dia dipanggil ke Balai Polis Temerloh menerima hadiah wang tunai berjumlah $1,500 (Malaysian Dollar) dan menginap di hotel selama dua hari sebagai penghargaan.
“Rezeki itu tidak disangka-sangka kerana jumlahnya sangat besar pada waktu itu mungkin sekarang nilainya sekitar RM10,000. Dengan duit itulah saya guna untuk meneruskan pengajian agama dalam bidang syariah di Madrasah Al Junid di Singapura selama tiga tahun bermula awal 1957 hingga 1959,” katanya.
Menurutnya, setelah tamat pengajian di Singapura, dia mengajar di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Chenor di Maran dan Madrasah Al-Aliah Al Arabiah Kampung Bohor Baru di Bera serta menjadi guru al-Quran.- UTUSAN ONLINE