KOTA KINABALU: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dijadual berlangsung pada 24 hingga 26 Ogos ini ditunda bulan depan.
Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya dalam satu kenyataan berkata, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin mengisytiharkan sidang DUN yang dijadualkan selama tiga hari bermula 24 Ogos ditunda kepada 21 hingga 23 September ini.
Jelas beliau, untuk itu pengisytiharan sidang DUN yang ditetapkan pada 29 Julai lalu dipinda.
Sebelum ini, Kadzim memaklumkan, Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Sabah ke-16 akan bersidang selama tiga hari bermula 24 Ogos.
Istiadat pembukaan persidangan itu dijangka disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah pada 24 Ogos tanpa acara perbarisan.
Persidangan DUN Sabah ke-16 akan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk penjarakan fizikal, selain setiap tempat duduk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di dalam dewan dilengkapi penghadang lut sinar bagi mengekang penularan Covid-19.