KUALA NERUS: Pengalaman bertarung nyawa menentang pengganas komunis masih segar dalam ingatan seorang pesara tentera menjelang sambutan Hari Kebangsaan Ke-64 tidak lama lagi.
Mustaffa Hussain, 69, yang merupakan anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berkata, antara pertempuran yang disertainya ialah di hutan Chemor, Perak di samping di Raub, Pahang sebelum menamatkan perkhidmatan pada 1988.
“Seingat saya seramai tujuh pengganas komunis berjaya ditembak mati dalam kesemua misi tersebut.
“Sebagai ketua peninjau saya ditugaskan untuk memeriksa saki-baki penempatan komunis dalam setiap operasi dan berderau darah saya kerana risiko diserang hendap boleh berlaku bila-bila sama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Gong Badak di sini semalam.
Mustaffa berkata, hatinya tersentuh mengenang rakan seperjuangan yang cedera parah atau gugur ditembak komunis, malah air matanya turut mengalir apabila menyaksikan rakan-rakan yang melambung terkena jerangkap samar.
Bagaimanapun katanya, semangat untuk terus berjuang mempertahankan negara tidak pernah luntur di sebalik cabaran tersebut di samping gaji yang tidak seberapa dengan cuma RM180 sebulan.
“Saya berharap generasi hari ini dapat bersatu padu dan menjaga keharmonian negara hasil keringat dan air mata pejuang terdahulu. Ancaman kita pada masa ini bukan lagi pengganas komunis tetapi wabak Covid-19,” katanya.
Sumbangan bapa kepada tujuh anak itu sebagai perajurit mendapat pengiktirafan apabila dianugerahkan Pingat Jasa Negara (PJM) pada tahun lalu.- UTUSAN ONLINE