PETALING JAYA: Semua pemimpin parti politik membuat keputusan secara konsesus untuk mewujudkan politik baharu sebaik selesai sesi menghadap Yang diPertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah semalam.
Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan tersebut sekali gus disifatkannya membuahkan hasil untuk mewujudkan persefahaman dalam kalangan parti di negara ini.
Malah katanya, dalam pertemuan dengan Al-Sultan Abdullah, semua pemimpin parti turut diingatkan agar bermuafakat dalam menangani krisis kesihatan, politik dan ekonomi.
” Hari ini semua ketua-ketua parti telah dititah mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. Tuanku memulakannya dengan titah nasihat bahawa negara ketika ini dalam kemelut politik dan harus bersatu menghadapi malapetaka Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.
“Tuanku Agong turut memberitahu mengenai lunas-lunas Perlembagaan, mencari calon Perdana Menteri yang dapat majoriti sokongan Ahli Parlimen, tetapi politik perlu berubah. Maknanya yang menang jangan jadi seperti pernah berlaku sebelum ini iaitu memakan yang kalah. Harus ada satu kekuatan dengan semua parti dengan persefahaman baru,” katanya di sini semalam.
Tambah Anwar, selain itu, apa yang penting sebagaimana ditekan Al-Sultan Abdullah adalah membentuk politik baru yang lebih aman untuk rakyat.
Dalam sesi menghadap selama dua jam itu, semua pemimpin mencadangkan nama calon Perdana Menteri baharu, sekali gus membolehkan Seri Paduka mendapat gambaran jelas berkenaan tahap sokongan ahli-ahli Parlimen terhadap calon berkenaan.
Ini susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam sebagai perdana menteri selepas beliau kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Peletakan jawatannya itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong namun baginda berkenan Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara atau ‘caretaker’ sehingga Perdana Menteri baru dilantik.
Keputusan beliau dibuat selepas 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan, manakala cadang kerjasama rentas parti dengan Parikan Nasional (PN) pimpinannya tidak mendapat sokongan pembangkang.
Berikutan itu, antara pemimpin politik yang dicanangkan sebagai bakal calon Perdana Menteri ialah Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein.
Desas-desus turut mengaitkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. -UTUSAN ONLINE