SHAH ALAM: Sebanyak 191 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di negeri ini dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini iaitu Januari sehingga Mei lalu.
Secara purata, setiap hari berlaku satu atau dua kes keganasan rumah tangga di Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, daerah Petaling mencatatkan kes keganasan rumah tangga paling tinggi.
“Jumlah kes ini dicatatkan di seluruh daerah negeri iaitu Petaling 69 kes, Ulu Langat (38), Gombak (28), Klang (16), Sepang (15), Kuala Langat (14), Kuala Selangor (6), Ulu Selangor (3) dan Sabak Bernam 2 kes.
“Semua jumlah kes keganasan rumahtangga ini telah didaftarkan untuk diberikan runding cara,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-14 di i Bangunan Annex, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya) yang bertanya mengenai jumlah kes keganasan rumah tangga yang berlaku di Selangor serta jumlah kes tersebut yang berjaya diselesaikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Siti Mariah berkata, JAIS tidak mempunyai bidang kuasa bagi menangani kes penderaan yang berlaku, sebaliknya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang boleh mengambil tindakan berhubung kes terbabit.
“Bidang kuasa JAIS adalah berhubung hal perkahwinan dan hak-hak dan tanggungjawab pasangan suami isteri serta anak.
“Bagaimanapun, JAIS akan menggerakkan Pusat Islamic Severe Obedience (ISO) JAIS Prihatin ke seluruh negeri yang berfungsi sebagai penyelaras dengan memberikan khidmat nasihat dan rundingan secara percuma kepada masyarakat,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE