KUALA LUMPUR: Tiada perubahan sokongan majoriti wakil-wakil rakyat kerajaan termasuk UMNO terhadap Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Perdana Menteri sehingga Parlimen dibubarkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sekalipun pembangkang berterusan mendakwa mempunyai sokongan daripada ahli Parlimen, ia sudah lama dilakukan demi memenuhi agenda politik mereka.
Selain itu, katanya, kerajaan memilih untuk terus fokus dalam mentadbir negara dan membila semula ekonomi kerana setiap dakwaan dilemparkan pembangkang adalah tidak berasaskan Perlembagaan Persekutuan.
“Dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari dahulu lagi cakap perkara yang sama kononnya ada sokongan kukuh dan meyakinkan. Kalau betul, buktikan jangan cakap tepi jalan.
“Saya faham pembangkang cuba menimbulkan pelbagai keraguan. Ini kerja yang biasa dilakukan jadi kami kerajaan hanya biarkan sahaja mereka terus dengan keraguan seperti ini.
“Tidak timbul persoalan mengenai status kedudukan kerajaan dan saya berpegang kepada kenyataan dikeluarkan bahawa sokongan majoriti wakil rakyat masih bersama dengan PN,” katanya ketika dihubungi semalam.
Senada dengan beliau, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut mengesahkan PN masih sah di sisi perundangan dan terus menggerakkan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Beliau mencabar pembangkang membuktikan sokongan Muhyiddin melalui Akuan Bersumpah (SD) ahli Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong dan Dewan Rakyat yang dikatakan sudah berkurang.
“Kita tidak boleh semudah itu membuat dakwaan. Kalau Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada sokongan yang cukup untuk menjadi Perdana Menteri, beliau kena buktikan.
“Kita (kerajaan) tidak pernah menghalang beliau untuk menghadap Seri Paduka sebab bukti sokongan ada pada beliau bukannya kerajaan.
Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Negara itu berkata, penutupan Parlimen sehingga wakil rakyat tidak boleh hadir semalam bukan satu bentuk persendaan kerana Parlimen dikategorikan sebagai zon merah pandemik Covid-19.
“Kita bukannya suka hati tutup. Ahli Parlimen ramai yang tua dan menghidap komorbid selain ada juga mereka dan kakitangan yang terkena jangkitan wabak Covid-19. Walau apa pun, saya akur dengan keputusan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah mengenai keputusan ini,” katanya.
Kelmarin, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan kenyataan seramai 40 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebulat menyokong kerajaan.
Semalam, ahli-ahli Parlimen pembangkang dari PKR, DAP, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Penaja Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Amanah Negara (Amanah) dan UPKO berkumpul di Dataran Mereka setelah tidak dibenarkan memasuki Bangunan Parlimen untuk persidangan khas terakhir di Dewan Rakyat.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah tumbang ekoran beberapa ahli Parlimen PN dipercayai telah menarik sokongan kepada kerajaan manakala bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa PN secara automatik terbubar apabila mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat tidak mengikut Perlembagaan.
Ketika ini, jumlah ahli Parlimen kerajaan PN seramai 115 iaitu UMNO (38); Bersatu (31); Pas (18), PBB (13); Bebas (4); MCA dan PDP masing-masing dua kerusi serta MIC, SUPP, PBRS, PBS dan Star masing-masing satu kerusi.
Pembangkang terdiri daripada DAP (42); PKR (35); Amanah (11); Warisan (8), Pejuang (4), PSB dan Bebas masing-masing dua kerusi dan UPKO (1) secara keseluruhan 105 kerusi.- UTUSAN ONLINE