Sedekah dua tan sayur, buah sempena merdeka - Utusan Malaysia

Sedekah dua tan sayur, buah sempena merdeka

AZAHAR Ibrahim (tiga dari kiri) bersama wakil usahawan rock melon, Hamid Yahya (dua dari kiri) bergambar bersama sebahagian dua tan sayuran yang disumbang kepada golongan asnaf sekitar Kampung Perepat hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Beberapa orang peladang buah rock melon mengambil inisiatif menyambut Hari Kebangsaan Ke-64 dengan menyumbang dua tan buah-buahan dan sayur kepada penduduk Kampung Perepat dalam kalangan golongan asnaf serta yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menurut wakil peladang tersebut, Hamid Yahya, dia dan rakan-rakannya berganding tenaga dan wang ringgit untuk menjayakan program tersebut.

“Kita membeli hasil pertanian seperti timun, jagung, jambu batu dan pisang untuk disumbang kepada asnaf sekitar kampung ini.

“Program sempena bulan kemerdekaan ini adalah bagi membantu golongan yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Ramah Mesra Dan Warga Tani Prihatin Usahawan Rock Melon Kampung Perepat Bersama Pengarah Pertanian Selangor hari ini.

Sementara itu, menurut Pengarah Pertanian Selangor, Azahar Ibrahim, program yang dianjurkan oleh usahawan tersebut merupakan inisiatif yang terpuji di saat masyarakat berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang menyebabkan ramai hilang punca pendapatan.

“Sebagai agensi yang menjaga hal ehwal produk pertanian seperti rock melon, saya melihat usaha yang dilakukan usahawan membantu penduduk kampung di sini wajar diteladani,”katanya.

Mengulas mengenai prospek rock melon sebagai produk pertanian, beliau berkata, buah tersebut adalah antara 12 buah bernilai tinggi di negeri ini.

“Sehubungan itu Jabatan Pertanian Selangor memberi galakan melalui khidmat pengembangan dan regulatori serta pembangunan agromakanan.

“Tahun ini kita menerima peruntukan dari kerajaan negeri sebanyak RM14 juta dan RM1.5 juta khas untuk pembangunan projek fertigasi turut melibatkan rock melon,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN