KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Sabah mengambil inisiatif membina rumah bot bagi memudahkan anggotanya mengawal perkampungan atas air di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, rumah bot yang dibina sendiri menggunakan bahan terpakai ini akan menjadi rumah bot pertama yang diguna pakai oleh PPM yang bertugas di kawasan PKPD.
Beliau berkata, idea menghasilkan rumah bot ini timbul hasil daripada perbincangan bersama pegawai PPM setelah melihat kelemahan yang berlaku semasa mengawal kawasan PKPD di perkampungan atas air di Semporna pada tahun lalu.
“Ini merupakan inisiatif PPM Wilayah 4 dan kita sudah melakukan kajian setelah beberapa kali melakukan penugasan di kawasan PKPD atas air. Kawalan PKPD di perairan dan daratan tidak sama.

“Jadi, kita tampil dengan idea menghasilkan rumah bot yang mempunyai dapur, tandas, air serta dilengkapi dengan kemudahan penjanaan solar untuk membekalkan tenaga elektrik bagi kemudahan anggota kita,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Ahmad, anggota PPM berdepan cabaran menjaga kawasan PKPD kerana bot yang digunakan tidak berbumbung dan menyukarkan mereka berteduh. Penggunaan bot ronda berbumbung pula tidak sesuai kerana laluan di perkampungan atas air agak sempit.
Justeru, PPM melakukan penambahbaikan demi keselesaan anggota yang bertugas di perkampungan atas air yang diletakkan di bawah PKPD.
Biarpun anggota tidak merungut kerana berdepan kesukaran namun, usaha perlu diambil bagi membolehkan penugasan mereka di kawasan PKPD berjalan lancar.
Apabila ada rumah bot sebegini, anggota PPM tidak perlu pulang ke pangkalan semasa penugasan.
Pada peringkat awal, rumah bot ini akan ditempatkan di perairan Kota Kinabalu bermula pada minggu hadapan dan sekiranya berjaya, kertas kerja akan dikemukakan kepada ibu pejabat PPM di Bukit Aman.
“Saya akan mengemukakan cadangan untuk membina lebih banyak rumah bot sebegini di Sabah untuk kemudahan anggota kita. Ketika ini, PPM mempunyai tujuh zon di seluruh Sabah,” katanya. – UTUSAN ONLINE