GEORGETOWN: Kerajaan negeri melahirkan rasa kesal dengan penundaan Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac) di Pulau Pinang dan berpendirian program itu perlu dipercepatkan dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, pihaknya menerima makluman petang semalam yang mana program itu yang dijadualkan hari ini di sini dan Johor terpaksa ditunda selama seminggu kepada 12 Ogos.
Menurut beliau, berdasarkan data Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), terdapat seramai 47,950 pekerja sektor pembinaan di Pulau Pinang ketika ini.
“Jumlah vaksin yang diberi untuk 30,000 pekerja sahaja jelas tidak mencukupi dan harus ditambah dalam fasa akan datang, jadi, disebabkan itu, vaksinasi pekerja-pekerja wajar dimulakan dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zairil, semua pihak mengetahui industri pembinaan merupakan salah satu sektor yang kritikal di negara ini, bukan sahaja dari segi penularan virus, malah, dari segi potensi pemulihan ekonomi.
Ini kerana katanya, sektor itu merupakan penyumbang ekonomi utama yang bakal menjana peluang pekerjaan dan kesan limpahan yang positif.
“Disebabkan itu, keselamatan rakyat Pulau Pinang secara amnya dan juga para pekerja sektor pembinaan secara khusus perlu diberi keutamaan dan tidak wajar diabaikan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, jumlah kes Covid-19 di Pulau Pinang menunjukkan peningkatan mendadak sehingga menyebabkan Jabatan Pesakit Luar Hospital Pulau Pinang (HPP) terpaksa ditutup mulai semalam.
“Penutupan ini bagi membolehkan kerja pengubahsuaian untuk dijadikan wad pemerhatian dan rawatan awal untuk pesakit Covid-19.
“Ini menunjukkan virus Covid-19 telah menular dalam kalangan komuniti dan sistem kesihatan negeri kini berada di tahap membimbangkan,” katanya.
Tambahnya, satu-satunya langkah bagi menangani pandemik Covid-19 dan memastikan warga Pulau Pinang kembali ke norma kehidupan pra-Covid-19 adalah melalui vaksinisasi.
“Walaupun Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mula dijalankan sejak Februari lalu, masih ramai warga Pulau Pinang yang belum menerima janji temu untuk dos pertama selain ada sebilangan warga emas yang ‘tercicir’,” katanya. -UTUSAN ONLINE









